Nasional

Permohonan subsidi upah diluluskan bernilai RM12 bilion

Seramai 322,177 majikan dan 2.64 juta pekerja telah menerima manfaat Program Subsidi Upah (PSU) di bawah program PRIHATIN dan PENJANA.

Menurut Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, setakat 2 Julai lalu permohonan subsidi upah yang diluluskan telah pun mencapai nilai RM12.907 bilion.

Menurutnya, dalam tempoh sama, seramai 149,791 peserta telah diluluskan untuk mengambil bahagian dalam Program Kemahiran dan Peningkatan.

Sementara itu 137,659 orang telah berjaya mendapat pekerjaan melalui Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan sehingga 2 Julai lalu.

“Antara industri dan sektor utama yang mengambil pekerja termasuk pembuatan serta perdagangan borong dan runcit,” kata Tengku Zafrul dalam dalam Laporan Laksana ke-61 yang dikeluarkan hari ini.

Bagi Inisiatif Pemulihan CENDANA sebanyak RM4.22 juta telah disalurkan setakat 2 Julai lalu kepada 520 penerima yang terdiri daripada kalangan seniman dan organisasi di dalam sektor seni dan budaya Malaysia.

Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi Insiatif Pemulihan CENDANA yang dijangka akan memanfaatkan 3,000 penerima dalam sektor tersebut.

“Penerima akan menerima saiz geran yang berbeza bergantung kepada permohonan dan program yang disasarkan,” katanya.

Para penggiat industri kreatif adalah disaran untuk menggunakan peluang kemudahan yang disediakan dan boleh memohon bantuan dengan melayari www.mycreative.com.my/penjana dan www.cendana.com.my
untuk maklumat lanjut.

Selain itu, bagi Elaun Khas Barisan Hadapan sebanyak RM862.35 juta telah disalurkan kepada 2,383,893 tuntutan yang terdiri daripada kalangan doktor, jururawat dan kakitangan perubatan lain yang terlibat secara langsung dalam pengurusan dan pembendungan wabak COVID-19.

Elaun khas tersebut juga turut memanfaatkan anggota tentera, polis, kastam, imigresen, bomba, anggota Angkatan Pertahanan Awam serta anggota RELA yang terlibat secara langsung dalam melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bagi Subsidi Pengangkutan Awam My30 sebanyak RM127.74 juta telah disalurkan bagi langganan 751,414 pas bulanan pengangkutan awam tanpa had bernilai RM30 yang disediakan khusus untuk warganegara Malaysia sehingga 2 Julai lalu.-SM

 

(Visited 124 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button