Nasional

Ismail Sabri ketuai penerima darjah kebesaran Melaka

Amy Search turut bergelar Datuk

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengetuai 883 penerima penganugerahan darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka sempena Hari Jadi ke-73 Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Ismail Sabri satu-satunya tokoh yang dianugerahkan Darjah Utama Negeri Melaka (D.U.N.M) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Ismail Sabri Yaakob terima Darjah Utama Negeri Melaka (D.U.N.M) yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay menerima Darjah Gemilang Seri Melaka (D.G.S.M) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Turut menerima D.G.S.M ialah Menteri Pertahanan Indonesia, Letnan Jendera TNI (Purnawirawan) Prabowo Subianto. Beliau telah menerima darjah berkenaan di Dewan Utama Pejabat TYT pada 26 Julai lalu.

Pegawai Bomba Kanan II, Allahyarham Mohd. Diya Che Jusoh yang terkorban semasa operasi menyelamatkan mangsa banjir di Kampung Sungai Putat pada 20 Oktober 2021 pula dianugerahkan Bintang Gagah Perkasa (BGP) yang diterima oleh balunya, Noraida Che Noh.

Penyanyi rock tersohor negara, Amy Search atau nama sebenarnya Suhaimi Abdul Rahman pula menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) yang membawa gelaran Datuk.

Amy Search terima Darjah Darjah Pangkuan Seri Melaka (D.P.S.M) yang membawa gelaran Datuk.

Abang Viva atau nama sebenarnya Azwan Omar atas usahanya membantu mangsa banjir di Selangor dan Pahang pula dianugerahkan Pingat Jasa Kebaktian (PJK).

Darjah Cemerlang Seri Melaka (DCSM) yang membawa gelaran Datuk Wira pula dianugerahkan kepada 26 penerima.

Ia didahului Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari; Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), Datuk Baharin Din; Setiausaha Khas kepada TYT Di Pertua Negeri Melaka, Datuk Nur Azmi Ahmad; Pengarah Pengurusan Bukit Aman, Datuk Zaini Jass; Ketua Umum Dewan Masjid Indonesia, Dr.
Syafruddin Kambo dan Setiausaha Politik kepada Presiden UMNO, Datuk Abdul Halim Mohammad.

Seterusnya seramai sembilan individu pula menerima Darjah Mulia Seri Melaka (DMSM) dan 163 penerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang turut membawa gelaran Datuk.

Antara penerima DMSM adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Malaysia, Datuk Isham Ishak; Pengerusi Perbadanan Baitulmal Negeri Sabah, Dr. Omar Raisul As-Salam Syah A. S Omar dan Setiausaha Sulit Kanan kepada Menteri Sumber Manusia, S. Suria Kumar.

Bagi DPSM, antara penerima ialah Setiausaha Sulit Kanan Ketua Menteri Melaka, Borhan Othman Ali; Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Melaka, Dr. Rusdi Abd Rahman; Ketua Pegawai Eksekutif Melaka Waterfront Economic Zone (MWEZ), Mohd. Yusof Abu Bakar; Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Negeri Melaka, Ramli Mohd. Ali dan Panglima 1 Briged Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral, Mohd. Saifulisham Baharun.

Turut menerima DPSM ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Mohd. Zamri Mat Zain; Pegawai Daerah Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah, Saiful Hazwa Kipli dan Duta Malaysia ke Kemboja, Eldeen Husaini Mohd. Hashim.

Pada istiadat kali ini, Tun Mohd Ali turut menganugerahkan Darjah Seri Melaka (DSM) kepada 41 penerima.

Secara keseluruhan, seramai 71 orang penerima dianugerahkan Bintang Cemerlang Melaka (BCM), diikuti 159 penerima Bintang Khidmat Terpuji (BKT), 258 penerima Pingat Jasa Kebaktian (PJK), 151 penerima Pingat Bakti Masyarakat (PBM) dan dua penerima Pingat Khidmat Lama (PKL). – SM

(Visited 751 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button