Nasionalpilihan

Cari jalan penyelesaian hidupkan semula perkhidmatan Monorel terbengkalai

Kerajaan negeri akan mencari penyelesaian bagi menghidupkan semula perkhidmatan Monorel di Taman Rempah dekat sini yang terbengkalai sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama.

Pengerusi Kanan Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin berkata, beliau difahamkan perkara tersebut dalam proses untuk penyelesaian di mahkamah membabitkan syarikat yang menguruskan monorel berkenaan.

Rais Yasin.

“Secara detail saya belum dapat lagi namun ia adalah projek di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kita sedang melihat dari sudut perundangan bagaimana kita hendak menguruskannya dan kita akan pastikan wang rakyat tidak dibazirkan begitu sahaja.

“Apa juga outcome daripada proses penyelesaian ini mahupun di peringkat mahkamah ia mesti menjurus kepada kebaikan yang penting pihak kerajaan negeri mendapat keuntungan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Anugerah Projek/Program Terbaik dan Anugerah Kajian Penilaian Outcome Terbaik Negeri Melaka 2022 yang telah disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh di sebuah hotel di Bandar Hilir di sini hari ini.

Akhbar Utusan Malaysia sebelum ini pernah melaporkan sejak PKP pertama dilaksanakan, perkhidmatan monorel yang mula beroperasi pada 2010 dengan kos RM16.5 juta itu tidak lagi dilihat bergerak menyusuri Sungai Melaka dan Kampung Morten.

Tinjauan mendapati, dua gerabak itu kini tersadai di Stesen Monorel di persimpangan Tun Ali di sini manakala kaunter menjual tiket ditutup tanpa sebarang notis ditampal.

Monorel itu mengalami situasi menyedihkan sejak beroperasi apabila sebanyak 22 kali perkhidmatannya terhenti sepanjang 2011 selain itu dua insiden mencemaskan turut berlaku apabila 20 penumpang terperangkap di dalam gerabak pada 2010.

Mengulas lanjut Rais berkata, pada mesyuarat post Exco baru-baru ini beliau telah meminta pihak MBMB laporan penuh mengenai perkhidmatan monorel itu dan jalan penyelesaiannya.

Katanya, beliau yakin MBMB mempunyai penilaian mereka sendiri untuk menyelesaikan isu produk pelancongan tersebut.

“Kita tidak boleh katakan kerajaan negeri akan mengambil alih monorel tersebut kerana dari sudut kos ia perlu kajian terperinci dan selepas itu saya akan pantau dari masa ke semasa,” ujarnya.

Tegasnya, perkhidmatan monorel adalah antara salah satu projek terbengkalai yang telah dikenal pasti untuk diselesaikan termasuk beberapa projek lain di bawah PBT di negeri ini.

Menurutnya, semua projek terbengkalai khususnya berkaitan dengan produk pelancongan akan dibentangkan pada mesyuarat Exco yang akan datang untuk melihat apa tindakan yang telah atau belum diambil.

“Ini adalah usaha kita dalam usaha untuk memastikan tidak ada lagi projek-projek ‘Gajah Putih’ berada di dalam negeri Melaka dan persediaan sempena Tahun Melawat Melaka 2024,” ujarnya. – SM

(Visited 123 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button