MahkamahNasional

Pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah rogol, cabul dua anak tiri

SEORANG pengawal keselamatan yang menghadapi enam pertuduhan merogol dan mencabul dua anak tirinya sejak tahun lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Ayer Keroh, Melaka hari ini.

Tertuduh berusia 28 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai orang yang mempunyai hubungan amanah bapa tiri kepada dua kanak-kanak masing-masing berusia 14 dan 16 tahun telah melakukan amang seksual fizikal kepada mereka secara
berasingan pada tarikh berbeza antara Jun tahun lalu hingga 2 Januari lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak (AKSTK) 2017 dibaca bersama Seksyen 16A akta sama dan memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan
sebat, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa merogol dua kanak-kanak sama secara berasingan pada tarikh sama yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun sehingga 20 tahun dan hendaklah dihukum dengan maksimum 10 sebatan.

Semua kesalahan itu dilakukan di Rumah Pangsa Lereh, Tanjung Kling dalam daerah Melaka Tengah, di sini, antara Jun 2023 hingga 2 Januari lalu.

Timbalan Pendakwa Raya, Rashidah Baharom mencadangkan jaminan RM30,000 bagi empat pertuduhan dan dua pertuduhan lagi tidak ditawarkan jaminan.

Peguam Nur Aifaa Mohd Zain yang mewakili tertuduh bagaimanapun tidak membuat rayuan kerana anak guamnya tidak mampu menyediakan wang jaminan tersebut.

Hakim Darmafikri kemudian mengarahkan tertuduh dibawa ke penjara dan menetapkan 27 Februari ini sebagai sebutan semula kes berkenaan. – SM

BACA Dua pengawal keselamatan didakwa membunuh

BACA Pengawal keselamatan rogol, cabul dua anak tiri dicekup polis

(Visited 36 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button