EkonomiNasional

Majlis Tindakan Ekonomi bincang pelaburan langsung domestik serta pemerkasaan PBT

MESYUARAT Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) Bilangan 3 Tahun 2022, hari ini membincangkan dua perkara utama berhubung pelaburan langsung domestik (DDI) dan pemerkasaan pusat sehenti (OSC) Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata DDI adalah elemen terpenting bagi pemulihan ekonomi negara dalam fasa ‘Peralihan ke Endemik’.

Sehubungan itu, katanya, Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan memperhalusi cadangan dikemukakan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) khususnya dalam memperkasakan DDI.

Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) Bilangan 3 Tahun 2022 hari ini.

“Antara cadangan termasuk melaksana kajian berkaitan inisiatif bagi mengurangkan 50% kekangan birokrasi serta melakukan penyatuan dan penyelarasan insentif pelaburan.

“Merekayasa proses pengurusan buruh asing dan menyediakan pelan tindakan untuk mengembang rangkaian ‘perusahaan kecil dan sederhana dengan pelaburan langsung asing’ (PKS-FDI),” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Ismail Sabri berkata, kerajaan akan terus komited memperbaiki kualiti perkhidmatan PBT khususnya memperkasa pelaksanaan OSC 3.0 kepada OSC 3.0 Plus agar sentiasa efisien, cepat dan telus, bagi melonjakkan potensi DDI.

Beliau berkata, OSC 3.0 Plus adalah prosedur lengkap dan seragam berdasarkan undang-undang semasa bagi mengawal selia dan memudah cara proses pemajuan di kawasan PBT sehingga bangunan layak diduduki menggunakan aplikasi digital sepenuhnya di semua 98 PBT di Semenanjung.

“Penambahbaikan itu melalui pengenalan Sistem OSC 3.0 Plus Online dengan penekanan kepada aspek ‘teach in’, pengurusan aduan dan sesi libat urus pemegang taruh termasuk membangun mekanisme pusat sehenti pelesenan secara digital.

“Proses pemulihan ekonomi negara kini berada pada momentum terbaik. Kerajaan komited untuk memastikan DDI terus dirangsang dengan mengambil pendekatan mempermudahkan urusan penggerak industri. Kerajaan sentiasa mendengar cadangan daripada semua pihak untuk kesejahteraan Keluarga Malaysia,” katanya lagi. –  SM

Baca artikel ini > PM umum tol percuma dan diskaun tol sehingga 50% sempena Aidilfitri

Langgani saluran Telegram Suara Merdeka untuk berita terkini.

 

(Visited 31 times, 2 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button