BeritaNasional

Ancaman baharu peningkatan jangkitan Malaria Zoonosis

MALAYSIA menghadapi ancaman tambahan dalam bentuk peningkatan jangkitan Malaria Zoonosis.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata jangkitan Malaria Zoonosis di seluruh negara telah meningkat secara drastik daripada 376 kes pada 2008 kepada 3,575 pada 2021.

Beliau berkata penyakit bawaan nyamuk itu telah muncul sebagai punca utama kematian Malaria di Malaysia sejak 2017.

“Malaysia juga berdepan ancaman baharu dan lebih besar iaitu peningkatan jangkitan Malaria Zoonosis yang disebabkan oleh Parasit Plasmodium Knowlesi. Ia berjangkit antara haiwan dan manusia melalui vektor nyamuk.

“Berbeza dengan Malaria manusia, penularan jangkitan malaria zoonosis kerap berlaku di luar rumah,” katanya dalam satu kenyataan sempena Hari Malaria peringkat kebangsaan hari semalam.

Khairy berkata bahawa peningkatan kes adalah kerana penerokaan tanah yang agresif untuk pertanian, yang meningkatkan pendedahan antara manusia dengan haiwan. Haiwan adalah perumah semula jadi untuk Malaria Zoonosis.

“Pada masa ini, rawatan Malaria sedia ada berkesan untuk Malaria Zoonosis. Cabaran Kementerian Kesihatan (KKM) dalam menangani jangkitan ini ialah kekurangan kaedah kawalan vektor yang berkesan untuk membendung penularan di luar rumah.

“Justeru, jika seseorang itu mengalami simptom demam dan mempunyai sejarah pergi ke kawasan berisiko Malaria atau baru pulang dari negara endemik Malaria, adalah perlu mereka segera mendapatkan rawatan kesihatan.

“Pekerja yang terlibat dalam sektor perladangan dan perhutanan juga digalakkan menjalani saringan Malaria secara berkala.

“Individu juga boleh mengamalkan pencegahan jangkitan malaria seperti memakai seluar panjang dan berbaju lengan panjang serta menyediakan ubat nyamuk apabila berada di kawasan berisiko,” katanya.

Bagaimanapun, Khairy berkata Malaysia masih terdedah kepada risiko jangkitan Malaria manusia di kalangan pekerja asing yang baru tiba, kerana negara telah melaporkan 111 kes Malaria manusia import tahun lepas.

Beliau berkata Malaysia pernah merekodkan sifar jangkitan Malaria manusia selama empat tahun berturut-turut, antara 2018 dan 2021.

“Bagi menangani ancaman itu, kementerian telah memulakan saringan Malaria di pintu masuk terpilih dan Kawasan berisiko, serta melaksanakan intervensi pencegahan termasuk aktiviti kawalan vektor.

“Selain itu, KKM telah mengenal pasti sektor berisiko seperti perladangan dan perhutanan untuk memberi tumpuan kepada pelaksanaan aktiviti pengawasan Malaria,” katanya.

Hari Malaria Sedunia disambut pada 25 April sebagai mengiktiraf usaha global dalam mengawal Malaria dan tema tahun ini ialah ‘Memanfaatkan Inovasi untuk Mengurangkan Beban Penyakit Malaria dan Menyelamatkan Nyawa’. – SM

Langgani saluran Telegram Suara Merdeka untuk berita terkini.

(Visited 292 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button