Nasional

Pemuda UMNO beri 3 memorandum desak henti jual aset TH

PERGERAKAN Pemuda UMNO meneruskan desakan agar penjualan aset anak syarikat Tabung Haji iaitu TH Plantation Berhad dihentikan segera.

Penolong Setiausaha pergerakan itu, Datuk Hasmuni Hassan dan beberapa Exco Pemuda UMNO telah menyerahkan memorandum membantah penjualan aset tersebut kepada menteri utama Kerajaan Perikatan Nasional.

Menteri terbabit adalah Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr. Zulkfli Mohamad Al-Bakri.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata,  adalah amat mengecewakan apabila TH Plantations masih berkeras mahu meneruskan agenda Kerajaan PH untuk menjual 76.2% daripada jumlah keluasan aset ladang 101,019 hektar yang dimiliki.


“Di dalam memorandum ini, Pemuda UMNO Malaysia mendesak agar Kerajaan campur tangan bagi membatalkan serta-merta keputusan penjualan ini atas beberapa alasan.

“Aset-aset tanah ladang kelapa sawit THP adalah bernilai tinggi dan mempunyai potensi untuk dimajukan kelak<‘ kata Asyraf Wajdi.

Tambahnya, ketika ini Harga Minyak Sawit Mentah (CPO) berada pada paras tinggi iaitu purata melebihi RM3,000 bagi satu tan dan Harga Buah Tandan Segar Sawit (FFB) juga berada pada paras tinggi iaitu purata melebihi RM700 bagi satu tan.

Menurut Asyraf Wajdi, Laporan Suku Ketiga Tahun Kewangan THP mencatatkan keuntungan sebanyak RM23.86 juta berbanding kerugian sebanyak RM40.01 juta pada tempoh yang sama tahun 2019.

“Justeru Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia melalui memorandum ini mendesak agar kerajaan segera campur tangan menghentikan segala proses serta membatalkan keputusan pelupusan anak-anak syarikat THP ini agar kepentingan lebih 9.4 juta pendeposit TH dapat dijaga dan dipertahankan.

“Pemuda UMNO juga masih tidak berganjak dengan pendirian kami agar sebuah Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dan membongkar segala penyimpangan dan sebarang salah laku dalam Tabung Haji yang sering dibangkitkan sejak zaman PH,” tegas beliau.

Pemuda UMNO telah membuat beberapa pendedahan sejak zaman Kerajaan PH setelah mendapati proses penjualan saham bernilai RM170 juta dua anak syarikat THP iaitu Bumi Suria Ventures Sdn Bhd (BSV) dan Maju Warisanmas Sdn Bhd (MWM) kepada syarikat swasta Tamaco Plantation Sdn Bhd (Tamaco) mencetuskan keraguan dan persoalan.

Katanya, sehingga kini, penjelasan THP masih tidak memuaskan mengenai penukaran jurunilai professional bagi THP dan penurunan mendadak nilai aset kedua-dua syarikat BSV dan MWM oleh jurunilai yang baharu serta harga jualan yang jauh lebih rendah kepada sebuah syarikat swasta.-SM

(Visited 123 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button