Politik

Pemuda PAS personal mengapa kumpulan muzik pro-LGBT dibenarkan masuk

Kumpulan muzik yang membuat persembahan malam tadi dengan adegan bercium sesama lelaki dikecam Pemuda PAS.

Timbalan Ketua Pemuda PAS, Afnan Hamimi mempersoalkan bagaimana kumpulan muzik, The 1975 yang membuat persembahan di Good Vibes Festival, Litar Antarabangsa Sepang malam tadi diberi kebenaran masuk oleh pihak berkuasa, ia ekoran adegan tak senonoh yang dirakam atas pentas oleh penonton yang tular.

“Dewan Pemuda PAS mengecam keras kebiadapan The 1975, yang secara terang-terangan mencabar kedaulatan undang-undang Malaysia.

“Perlakuan mereka bukan saja menjijikkan, malah memprovokasi dan mempertikai undang-undang negara secara jelas juga suatu tindakan kurang ajar dan menghina seluruh rakyat Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ahli Parlimen Alor Setar itu berkata ia bukan kali pertama artis-artis yang pro-LGBT berjaya masuk dan mengadakan konsert di sini, malah mempromosi budaya songsang mereka di sini.

Justeru, katanya sayap PAS itu menggesa tindakan keras dan tegas diambil ke atas kumpulan The 1975, atas perlakuan terkutuk ini.

“Pada masa sama, timbul persoalan mengapa kumpulan kontroversi ini boleh dibenarkan masuk dan mengadakan konsert dalam negara. The 1975 bukan artis baru, malah amat terkenal dengan sikap biadap dalam setiap konsert mereka di mana-mana negara.

“Adakah pihak PUSPAL (Pusat Permohonan Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara) tidak melakukan carian latar belakang terlebih dahulu sebelum membenarkan kumpulan kontroversi ini masuk? Apa tujuan penganjur membawa masuk band ini, di sebalik rekod mereka yang tidak baik?” katanya.

Sehubungan itu, tindakan segera mesti dilaksanakan oleh kerajaan, terutama Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil bagi mengekang perkara ini daripada terus berlaku.

“Ini bukan soal bantahan konsert semata, tetapi ini adalah soal menyelamatkan generasi kita daripada dirosakkan artis-artis berfahaman songsang ini. Selamatkan generasi kita daripada hedonisme dan fahaman songsang yang merosakkan akhlak,” katanya.

Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya akan memanggil pihak penganjur konsert kumpulan The 1975 petang ini, susulan tindakan vokalisnya, Matty Healy menunjukkan perlakuan kurang sopan dalam konsert berkenaan.

Terdahulu, Fahmi dalam ciapan di Twitter menyifatkan perlakuan Matty dalam konsert itu sebagai biadap.

(Visited 167 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More
Back to top button