fbpx
Politik

Proses lantikan lengkapkan Pimpinan Nasional Amanah dijangka 10 Dis

PROSES lantikan bagi melengkapkan keseluruhan Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) akan ditentukan menerusi mesyuarat yang dijangka diadakan pada 10 Dis ini, kata Presiden parti itu Mohamad Sabu.

Beliau berkata menerusi mesyuarat tersebut, dua lagi naib presiden serta jawatan utama lain antaranya Setiausaha Agung dan Bendahari akan dilantik bagi menerajui parti.

Mengenai pengekalan ‘muka lama’ bagi jawatan utama parti itu pada Konvensyen Nasional Amanah 2019 yang diumumkan pagi tadi, Mohamad berkata ia adalah pilihan para perwakilan sendiri dan mendapat sokongan sebulat suara dalam mesyuarat khas Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional parti.

“Mereka (perwakilan) yang pilih ‘pasukan lama’. Jadi mesyuarat khas (malam tadi) juga bersetuju sebulat suara kekalkan barisan kepimpinan sama,” katanya pada sidang media selepas hari kedua konvensyen yang berlangsung di Pusat Konvensyen Ideal di sini, hari ini.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Timbalan Presiden Amanah Datuk Seri Salahudin Ayub, Naib Presiden Datuk Mahfuz Omar dan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abdul Samad.


Pemilihan 27 Ahli Jawatankuasa Amanah bagi penggal 2019/2022 yang dijalankan malam tadi, menyaksikan Khalid mendapat jumlah undi tertinggi iaitu 786 undi daripada 821 perwakilan yang mengundi menggunakan sistem e-undi.

Kedua adalah Mahfuz 780 undi, diikuti Salahuddin 765 undi, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (755) dan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan Dr Hatta Ramli (725), Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad 687 undi dan Mohamad ketujuh dengan 681 undi.

Mesyuarat khas Ahli Jawatankuasa Pimpinan Nasional parti itu yang diadakan selepas pengumuman itu memutuskan untuk mengekalkan Mohamad sebagai presiden parti bagi tempoh 2019/2022 dan Salahudin Ayub sebagai timbalan presiden.


Mesyuarat itu turut memutuskan Mahfuz, Mujahid dan Ahli Parlimen Hulu Langat Datuk Hasanuddin Mohd Yunus sebagai naib presiden.

Perlembagaan parti memperuntukkan bahawa sebaik keputusan pemilihan diumumkan, speaker hendaklah memanggil satu mesyuarat dalam kalangan 27 orang yang dipilih bersama dengan ketua wanita, ketua pemuda, ketua wanita muda dan 14 pengerusi negeri. Ia bagi memilih dari kalangan 27 ahli jawatankuasa itu jawatan presiden, timbalan presiden dan tidak lebih tiga naib presiden.

Mengulas mengenai kedudukan beliau pada kedudukan ketujuh sewaktu pemilihan malam tadi, Mohamad berkata beliau bersedia berada ‘di bawah’ namun mesyuarat khas yang mahu mengekalkannya sebagai presiden parti.

Khalid pula menjelaskan bahawa pemilihan tersebut bukan untuk memilih presiden, sebaliknya untuk menentukan ahli jawatankuasa nasional.

Menjawab pertanyaan mengenai pemilihan ‘muka lama’ itu disebabkan ada agenda parti yang masih belum tercapai, Khalid berkata ia dibuat supaya kesinambungan usaha sebelum ini tidak ‘diganggu’ di pertengahannya.

“Tiada masalah dengan saf kepimpinan lama. Kita teruskan apa yang kita usahakan. Perjalanan masih panjang, jadi kita kekalkan kepimpinan ini untuk teruskan kesinambungan. Dalam perbincangan malam semalam, semua sebulat suara setuju untuk kekalkan dan kita terus beri sokongan untuk pertingkatkan lagi usaha kita,” katanya.

Mahfuz pula menambah, persetujuan untuk mengekalkan Menteri Pertahanan itu bagi terus menerajui Amanah berikutan pengalamannya yang luas dan berjaya menunjukkan kepimpinan terbaik.

Dalam pada itu, ditanya mengenai cadangan perwakilan Sabah dan Wanita semasa sesi perbahasan Pidato Presiden yang mahu satu daripada jawatan naib presiden diisi dalam kalangan mereka, Mohamad menjawab “Kita akan bincang mengenai tuntutan itu”.
–  BERNAMA

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button