fbpx
Berita

Pemandu lori halang tugas pegawai polis ditahan

IPOH  – Seorang pemandu lori ditahan semalam selepas menghalang seorang pegawai polis berpangkat Sub Inspektor menjalankan tugas di Jalan Pasir Putih-Lahat berhampiran Bandar Lahat Baharu di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A. Asmadi Abdul Aziz berkata, siasatan awal mendapati pegawai yang juga Ketua Balai Polis Lahat, Sub Inspektor Zulkifli Md. Asid sedang dalam perjalanan pulang dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh ke Balai Polis Lahat dengan berpakaian uniform penuh menaiki kereta jenis Perodua Kancil pada pukul 9.45 pagi.

“Tiba di Jalan Lahat-Pusing, dia melihat sebuah lori membawa muatan rangka sebuah kereta yang terkeluar dari bahagian atas lantai belakang lori berkenaan.

“Pegawai kemudian mengarahkan lori tersebut berhenti di Jalan Pasir Putih-Lahat sebelum meminta kad pengenalan dan lesen pemandu lori berusia 33 tahun tersebut namun dia mendakwa begnya yang mengandungi kad pengenalan dan lesen telah tercicir di kedai barangan lusuh,” katanya.

Tambah A. Asmadi, pegawai meminta butiran penumpang wanita namun dia turut mendakwa tidak membawa dokumen berkenaan.

“Pegawai kemudian bertanya mengenai rangka kereta yang dibawa dan suspek memberikan sekeping kertas laporan polis manakala wanita itu pula mula membuat rakaman sambil memberitahu mahu melaporkan kejadian tersebut kepada pihak polis kerana anggota berkenaan meminta duit.

“Pegawai meminta suspek mengikutnya ke Balai Polis Lahat namun dia enggan. Dia cuba mematikan enjin lori namun suspek menepis tangan dan turun dari lori sebelum membuat kecoh,” katanya.

Katanya, pemandu lori kemudian mengeluarkan kad pengenalan dan memberi kepada anggota polis sambil berkata mahu membuat laporan polis bahawa polis mencuri kad pengenalannya sebelum meninggalkan tempat kejadian.

“Pegawai cuba mengekori lori tersebut namun ia hilang dari pandangan.

“Susulan kejadian tersebut, Ops Cantas dibuat dan polis berjaya menahan suspek di sebuah rumah di Taman Bercham Aman di sini pada pukul 3.51 petang dan kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan,” katanya.

Satu rakaman video yang dirakam penumpang wanita berkenaan mengenai kejadian tersebut tular di media sosial. – Perak Gazette

Video media sosial

Show More

Related Articles

Back to top button