Berita

Langkah proaktif cegah keganasan rumah tangga

Langkah-langkah yang proaktif dan pencegahan perlu diambil secara serius oleh setiap agensi bagi membantu dalam membanteras isu keganasan terhadap wanita dengan harapan lebih ramai dapat dilindungi dengan berpaksikan peraturan dan undang-undang sedia ada.

Perilaku seorang wanita yang lembut tutur katanya, juga tingkah lakunya menjadi sebab untuk dia dilindungi dan dipelihara dengan baik seperti mana Islam telah mengangkat darjat dan martabat seorang wanita. Namun, mutakhir ini di Malaysia, tercatat 57,519 kes keganasan terhadap wanita telah direkodkan sejak tahun 2010.

Amat membimbangkan lagi apabila statistik kes keganasan terhadap wanita ini semakin meningkat dari tahun ke tahun. Sebagai contoh, statistik dari sumber Polis Diraja Malaysia (PDRM) memperlihatkan 6,443 kes keganasan rumah tangga telah dilaporkan sepanjang tahun 2021.

Demikian titah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil ketika berkenan merasmikan penutupan “Webinar Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) : Women in Search of Excellence – WISE, Siri ke-8” anjuran bersama Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan YTF melalui FB UPNM dengan tajuk ‘Cabaran Wanita Dalam Keselamatan’ pada petang semalam.

Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah selaku Pengerusi YTF turut mendoakan agar para wanita di Malaysia ini terus dilindungi dan disantuni dengan sempurna dan sebaiknya.

Pada kesempatan yang sama Tuanku Raja Puan Muda tertarik dengan salah satu matlamat di dalam Dasar Wanita Negara oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) iaitu memberi fokus untuk menyediakan persekitaran yang kondusif termasuk penggubalan dasar dan perundangan mesra wanita, bagi meningkatkan martabat dan kesejahteraan hidup wanita. Ini merupakan hasil usaha yang sangat jitu, namun baginda berharap dasar ini perlu kepada penambahbaikan secara berterusan seiring dengan isu dan cabaran yang dihadapi oleh kaum wanita masa kini.

Pada sebelah paginya, perasmian pembukaan webinar tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Turut serta dalam program yang diurusetiakan oleh Pejabat Penolong Naib Canselor (Perkhidmatan, Jaringan Industri dan Perhubungan Korporat) UPNM tersebut pada kali ini ialah Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad yang menyampaikan ucaptama dan Naib Canselor UPNM, Leftenan Jeneral Datuk Hasagaya Abdullah yang memberikan kata-kata aluan di awal sesi.

Foto : Yayasan Tuanku Fauziah (YTF)

(Visited 296 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button