Nasional

Pelaksanaan stok penimbal gula putih bertapis elak gangguan bekalan

PELAKSANAAN stok simpanan (stockpile) gula putih bertapis oleh pengilang gula tempatan dijangka dapat membantu mengelakkan gangguan terhadap bekalan gula di masa akan datang.

Ia sekali gus dapat mengelakkan pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan dengan menaikkan harga dan menyimpan stok gula ketika berlaku krisis gangguan gula.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kementerian telah melaksanakan stok penimbal gula putih bertapis oleh dua kilang tempatan memproses gula.

“Bermula 1 Januari lalu, Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR) dan MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM) melaksanakan stok penimbal gula putih bertapis sebagai inisiatif awal bagi mengelakkan masalah bekalan gula di pasaran pada masa hadapan,” katanya.


Beliau melalui satu kenyataan hari ini berkata, keputusan ini dibuat setelah negara mengalami isu perbekalan gula beberapa kali kebelakangan ini ekoran pelbagai faktor seperti penutupan kilang, jangkitan Covid-19 terhadap pekerja kilang, kerosakan kepada mesin boiler dan lain-lain lagi.

Pengerusi MSM Malaysia Holdings Sdn. Bhd., Datuk Syed Hisham Syed Wazir sedang memberikan taklimat kepada YB Dato Sri Alexander Nanta Linggi, Menteri PDNHEP sambil diperhatikan oleh Tuan Azman Adam, Pengarah Penguat Kuasa KPDNHEP.

Katanya,  sehingga kini laporan mingguan pengeluaran gula yang diterima daripada empat kilang gula menunjukkan trend pengeluaran gula yang sama tetapi sebagai langkah proaktif, KPDNHEP telah merangka strategi bagi memastikan pengeluaran dan bekalan gula dalam pasaran domestik tidak terjejas.

Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, penggunaan gula domestik dianggarkan sebanyak 0.65 kg sebulan per kapita, katanya.

“Dan menjadikan jumlah tahunan yang diperlukan dianggarkan sebanyak 255,450MT setahun bagi keperluan 32.75 juta rakyat Malaysia.

“Manakala bagi pengeluaran kedua-dua syarikat pengilang gula adalah sebanyak 1,500,000MT setahun mencukupi untuk kegunaan rakyat Malaysia dan kegunaan industri di Malaysia,” jelasnya.

Justeru kata Alexander, sebagai langkah berjaga-jaga dan dalam usaha memastikan supaya bekalan gula dalam pasaran domestik sentiasa mencukupi, KPDNHEP telah mengadakan sesi libat urus dengan kedua-dua syarikat pengeluar utama bagi membincang dan mencari solusi untuk mengelakkan kejadian kekurangan bekalan gula dalam pasaran berlaku lagi di masa hadapan. – SM

(Visited 22 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button