Jenayah

Mayat terdampar di Pantai Puteri tiada unsur jenayah

Mayat seorang wanita berusia dalam lingkungan 20-an yang ditemui terdampar di Pantai Puteri, Tanjong Kling dekat sini pagi semalam tidak terdapat sebarang unsur jenayah.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, hasil daripada laporan bedah siasat ke atas mayat mangsa mendapati kematian berpunca daripada pendarahan bawah selaput otak.

“Memang tidak ada unsur jenayah menjadi punca kematian mangsa. Kematiannya berpunca akibat pendarahan bawah selaput otak disebabkan oleh miningiome yang pecah (subdural haemorrhage).

“Pihak forensik juga telah mengambil cap jari untuk disemak dengan pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi mengenal pasti identiti sebenar mangsa,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, sejak penemuan mayat itu yang menggemparkan orang ramai di pantai berkenaan polis masih gagal mengesan waris mangsa untuk membuat pengecaman.

Katanya, setakat ini polis belum menerima sebarang laporan mengenai orang hilang atau waris datang menuntut mayat itu.

Dalam kejadian pukul 8.00 pagi semalam, kawasan pantai pelancongan digemparkan dengan penemuan mayat seorang wanita berpakaian lengkap dalam keadaan tertiarap dan terbenam di dalam pasir.

Tiada sebarang identiti pengenalan mangsa ditemui dan kes tersebut diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Polis meminta mana-mana individu yang melihat kejadian untuk tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. – SM

(Visited 102 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button