Jenayah

Ahli Parlimen PKR lapor SPRM cuba disogok alih sokongan

AHLI Parlimen Sekijang Natrah Ismail yang mendakwa terdapat cubaan dibeli supaya beralih sokongan telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) cawangan Segamat hari ini.

Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu membuat laporan tersebut berdasarkan Seksyen 25 Akta SPRM 2009 berkenaan kewajipan melaporkan tawaran suapan.

Natrah berharap pihak SPRM akan dapat menyiasat laporan tersebut pada kadar segera.

“Hari ini saya telah membuat satu laporan kepada pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkenaan satu kejadian percubaan mendapatkan sokongan saya terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin, dengan janji manfaat yang boleh saya perolehi dengan pemberian sokongan tersebut.

“Kejadian itu telah berlaku pada 3hb Mac yang lalu, dan melibatkan dua individu termasuk seorang yang bergelar Datuk Seri,” katanya.


Natrah dalam satu kenyataan berkata, beliau tidak berminat untuk memberi sokongan kepada Muhyiddin dan menegaskan tidak mahu mengkhianati Parti Keadilan Rakyat, pimpinan dan pengundi-pengundi Parlimen Sekijang.

“Kepada mereka yang masih berusaha untuk mengubah sokongan Ahli-Ahli Parlimen Parti Keadilan Rakyat atau pembangkang amnya, berhenti lah. Kerajaan minoriti yang kamu cuba selamatkan itu sudah seperti telur di hujung tanduk. Kepada kerajaan minoriti hari ini, saya cuma ada satu kata: Lawan!,” katanya.

Semalam SPRM memohon  supaya Natrah membantu siasatan berhubung dakwaan cubaan individu bergelar ‘Datuk Seri’ menyogok Ahli-ahli Parlimen pembangkang untuk lompat parti.

Selain Natrah, SPRM berkata, mana-mana individu yang mempunyai maklumat berhubung dakwaan berkenaan juga diminta tampil memberi aduan kepada badan itu, sekiranya perkara itu benar-benar dianggap rasuah.

“Aduan tersebut adalah selaras dengan Seksyen 25 Akta SPRM 2009, mengenai kewajiban melapor transaksi penyogokan.

“SPRM bersedia untuk menjalankan siasatan terhadap aduan tersebut,” menurut SPRM.

Baru-baru ini, Natrah mendakwa terdapat dua individu termasuk salah seorang daripada mereka kononnya bergelar Datuk Seri, telah berjumpa dengan beliau dan bertanya sekiranya mahu menyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Natrah berkata, beliau tidak akan meninggalkan perjuangan Parti Keadilan Rakyat (PKR) khususnya dalam menjayakan Agenda Reformasi yang menjadi asas dan pegangan parti itu.

Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan identiti sebenar dua individu berkenaan dan hanya melaporkan perkara itu kepada pucuk pimpinan PKR.-SM

 

 

 

 

(Visited 126 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button