Jenayah

Penolong jurutera MBK mengaku tidak bersalah terima rasuah RM2,000

SEORANG penolong jurutera Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen semalam atas dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2,000, tahun lepas.

Bagi kedua-dua pertuduhan Mohd Yusrizal Md Ledza, 39, didakwa menerima wang masing-masing RM1,000 daripada seorang kontraktor wanita yang mempunyai hubungan dengan tugas rasminya, yang dipindahkan secara dalam talian ke akaun miliknya.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Temerloh pada 7 dan 23 Mac 2022 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rifah Izzati Abdul Mutalif menawarkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.

Mohd Yusrizal yang tidak diwakili peguam merayu jaminan minimum kerana mempunyai komitmen menyara keluarga dan berpendapatan RM4,200 sebulan.

Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain menetapkan jaminan RM9,000 dengan syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di SPRM Cawangan Temerloh setiap bulan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah.

Kes akan disebut semula pada 13 Feb ini bagi lantikan peguam dan serahan dokumen. – BERNAMA

(Visited 192 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button