Nasional

PDRM tingkatkan kemudahan peralatan SJR guna teknologi solar

PASUKAN Polis DiRaja Malaysia (PDRM) melangkah setapak lagi dengan penambahbaikan kemudahan logistik yang mana kali ini, mereka menggunakan teknologi solar bagi kelancaran Sekatan Jalan Raya (SJR) yang diadakan sepanjang Covid-19 yang masih membelenggu negara.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam satu kenyataannya berkata, selain penggunaan kaedah solar itu praktikal, ia juga murah dan mudah serta teknologi yang canggih itu boleh dijadikan aset di setiap balai polis.

Teknologi ini, kata Abdul Hamid lagi, amat berguna sekiranya dapat dibekalkan kepada setiap balai PDRM dan bukan hanya untuk SJR.

“Teknologi ini sebenarnya untuk kemudahan dan saya percaya ia boleh dimanfaatkan untuk kegunaan selain ketika polis membuat SJR,” katanya.

Beliau memberi contoh, penggunaan teknologi solar tidak menjejaskan balai sekiranya terputus bekalan elektrik.

“Walaupun terdapat genarator, saya melihat penggunaan solar ini lebih efisien, paling praktikal, mudah disimpan dan murah,” ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya  berhasrat untuk berbincang dengan Koperasi Polis Diraja Malaysia Berhad dan  Kop Mantap Berhad (KMB) bagi mendapatkan penggunaan teknologi solar yang dibekalkan oleh syarikat Munawwareen Holdings Sdn. Bhd.

“Kita akan mengadakan satu pertemuan dengan KOP Mantap Berhad dan pihak pembekal untuk membuat pembentangan, perbincangan dan demo.

“Kita juga akan mempertimbangkan keperluan ini (penggunaan teknologi solar) dan seterusnya membentangkan bajet kepada Kementerian Dalam Negeri,” kata beliau.

Untuk rekod, syarikat Munawwareen Holdings Sdn. Bhd., juga merupakan salah satu penaja utama Program Lawatan Kerja KOP MANTAP Berhad Ke Kontinjen Xon Selatan (membabitkan tiga negeri iaitu Negeri Sembilan, Melaka dan Johor) selain turut membekalkan keperluan pelitup muka dan air mineral kepada petugas barisan hadapan. – SM

(Visited 239 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button