Nasional

Tambang percuma pengguna MRT Laluan Putrajaya hari ini hingga 31 Mac-PM

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pemberian tambang percuma bagi pengguna perkhidmatan Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Putrajaya bermula hari ini sehingga 31 Mac.

Anwar berkata, tambang percuma itu termasuk penggunaan bas perantara meliputi MRT Laluan Putrajaya dari Kwasa Damansara sehingga ke Putrajaya Sentral.

“Dan kerana kejayaan MRT Corp dan pelaksanaan MRT ini, saya bersetuju, mulai hari ini, jam 3 petang, kita tidak akan mengenakan bayaran bagi yang menggunakan perkhidmatan ini sehingga 31 Mac,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran MRT Laluan Putrajaya Fasa Dua di Depoh MRT Serdang.

Hadir sama, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Dengan laluan sepanjang 40.2 kilometer (km) dari Kampung Batu ke Putrajaya Sentral, operasi Fasa Dua yang akan bermula pukul 3 peang hari ini melibatkan beberapa lokasi atau stesen hot spot antaranya Sungai Besi, Chan Sow Lin dan Ampang Park yang merupakan tempat tumpuan warga kota yang bekerja.

Ia turut melibatkan laluan dengan perkhidmatan stesen pertukaran antara laluan transit alian ringan (LRT) Kelana Jaya, MRT Kajang dan monorel.

MRT Putrajaya secara keseluruhannya melibatkan laluan sepanjang 57.7 km dari Kwasa Damansara ke Putrajaya Sentral dengan 36 stesen termasuk Sembilan stesen bawah tanah dan 49 set tren.

Sebelum ini, MRT Laluan Putrajaya Fasa Satu melibatkan perjalanan dari Kwasa Damansara hingga Kampung Batu telah dibuka untuk pengguna pada 16 Jun lepas. – BERNAMA

(Visited 175 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button