Nasional

PDRM hargai peruntukan RM17 bilion perkasa khidmat kepada masyarakat

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) menzahirkan penghargaan terhadap peruntukan RM17 bilion kerajaan kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi sektor pertahanan negara dan ketenteraman awam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador dalam kenyataan sebagai reaksi kepada pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat semalam berkata agihannya akan dimanfaatkan sepenuhnya demi memperkasa penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.

Selain itu menurutnya pemberian RM500 secara one-off kepada 40,000 pesara polis yang menerima Pingat Jasa Pahlawan juga adalah satu bentuk penghargaan dan pengiktirafan kepada pengorbanan dan bakti mereka selama ini.

“Sehubungan itu, peruntukan RM20 juta bagi tujuan memperkasakan program perlindungan dan rondaan biodiversiti yang melibatkan pengambilan lebih 500 bekas polis, tentera dan Orang Asli membuktikan kerajaan komited dalam usaha pemuliharaan alam sekitar serta memelihara khazanah negara,” katanya.

Abdul Hamid berkata PDRM akan memastikan peruntukan yang diberikan kerajaan dalam belanjawan berkenaan dioptimumkan demi kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negara.


Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab berkata peruntukan RM27 juta untuk CyberSecurity yang dibentang dalam belanjawan itu merupakan satu pengiktirafan jelas, yang menunjukkan kerajaan komited dalam usaha menangani serta mencegah ancaman jenayah siber.

Beliau berkata pada masa sama ia adalah bagi memastikan wujudnya prasarana keselamatan siber yang selamat lagi kondusif di Malaysia.

Berdasarkan statistik insiden keselamatan siber Pusat Bantuan Cyber999 (kendalian CyberSecurity Malaysia) sehingga Oktober tahun ini, sebanyak 9,042 laporan dibuat berbanding 8,770 tahun lepas dengan peningkatan sebanyak 3.1 peratus.

“Tiga insiden tertinggi yang dilaporkan adalah penipuan (fraud), pencerobohan (intrusion) dan kod berbahaya (malicious code),” katanya.

“Justeru, peruntukan ini akan menyokong usaha serta inisiatif pembangunan program keselamatan siber antaranya program kesedaran keselamatan siber, pembangunan kapasiti dan teknologi serta infrastuktur keselamatan siber bagi tujuan menangani ancaman serta jenayah siber,” jelasnya.

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam pembentangan Belanjawan 2021 mengumumkan CyberSecurity diperuntukkan RM27 juta untuk meningkatkan kawalan keselamatan siber negara.- BERNAMA

(Visited 55 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button