AgamaNasionalNegeri

Perlis laksana solat jenazah ghaib esok ke atas Syeikh Dr. Yusuf Abdullah al-Qaradawi

Masjid di seluruh negeri Perlis akan melaksanakan solat jenazah ghaib selepas Zohor esok ke atas ulama tersohor dunia, Syeikh Dr. Yusuf Abdullah al-Qaradawi Rahimahullah.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah demikian setelah ia diperkenankan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.

Baginda bertitah, solat jenazah ke atas Rahimahullah dimaklumkan akan dilaksanakan pada waktu Asar di Qatar pada hari ini maka pelaksanaan solat jenazah ghaib ke atas Rahimahullah di masjid seluruh Perlis adalah diselaraskan sejurus selepas solat Zuhur esok iaitu pada Rabu bersamaan 28 September.

“Digalakkan umat Islam di Perlis untuk menyertai solat berkenaan seperti yang diperkenankan berdasarkan Sunnah Baginda Rasulullah SAW,” titah Baginda.

Titah Baginda, pemergian Syeikh Dr. Yusuf Abdullah Al-Qaradawi Rahimahullah merupakan satu kehilangan besar buat dunia Islam dan didoakan jua Rahimahullah ditempatkan di sisi mereka yang beriman dan para solihin.

Raja Perlis juga dijadualkan berangkat melaksanakan solat Zuhur dan solat jenazah ghaib di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail di Kangar seperti waktu yang ditetapkan.

Tuanku Syed Faizuddin juga pernah mengadakan pertemuan dengan Syeikh Dr. Yusuf Abdullah al-Qaradawi ketika Baginda berkunjung ke Qatar pada tahun 2012.

Semalam, dunia Islam dikejutkan dengan pemergian ulama tersohor dunia yang meninggal dunia pada usia 96 tahun. – SM

(Visited 240 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button