MahkamahNasional

10 pengundi Gombak gagal saman Azmin Ali atas dakwaan melanggar kewajipan fidusiari

SEKUMPULAN 10 pengundi gagal menyaman Ahli Parlimen Gombak, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali atas dakwaan melanggar kewajipan fidusiari selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan keputusan awal Mahkamah Rayuan yang membatalkan kes itu.

Mahkamah tertinggi itu mendapati kumpulan tersebut gagal membangkitkan persoalan undang-undang yang mempunyai kepentingan awam untuk mewajarkan kebenaran merayu keputusan mahkamah rendah.

Kumpulan pengundi itu mendakwa Azmin bertanding pada Pilihan Raya 2018 untuk menggulingkan Barisan Nasional (BN).

Tetapi dia kemudiannya mengingkari janjinya dengan menjatuhkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan menyertai gabungan Perikatan Nasional (PN) pada 2020.

Dalam keputusan sebulat suara, Hakim Besar Malaya Azahar Mohamed berkata, cadangan persoalan yang dikemukakan dalam permohonan kebenaran merayu tidak memenuhi Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.

“Kami tidak yakin bahawa persoalan yang dicadangkan mencapai ambang, dan dengan itu menolaknya. Memandangkan ini kes kepentingan awam, kami tidak mengeluarkan sebarang perintah mengenai kos,” katanya pada perbicaraan dalam talian menurut laporan FMT.

Hakim Vernon Ong dan Rhodzariah Bujang turut bersidang bersama Azahar di mahkamah tertinggi itu.

Azmin pada mulanya memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk membatalkan saman pengundi itu terhadapnya namun permohonan itu ditolak oleh Hakim Akhtar Tahir pada 30 Jun tahun lepas.

Akhtar berkata, perbicaraan penuh ialah satu-satunya cara untuk menentukan sama ada Ahli Parlimen Gombak itu “membuat representasi palsu” bagi meraih sokongan pengundi.

Bagaimanapun, pada 13 April, Mahkamah Rayuan memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi telah membuat kesilapan yang boleh dirayu dan membatalkan saman itu.

Dalam pernyataan tuntutan mereka, pemohon berkata, Azmin telah membuat representasi bahawa beliau bertanding pada pilihan raya 2018 untuk menggulingkan BN dan “membebaskan Malaysia daripada pegawai korup”.

Mereka juga mendakwa Azmin memberitahu pengundi untuk “mengundi PKR bagi menjamin kerajaan yang cekap dan stabil”.

Bagaimanapun, mereka berkata, Azmin sendiri menyebabkan kejatuhan kerajaan PH pada 2020. Beliau kemudiannya menyertai pentadbiran PN, yang turut dianggotai individu daripada BN dan lain-lain yang menurutnya sebelum ini, “dituduh dengan kukuh mengamalkan rasuah”.

Pada prosiding pagi ini, peguam mewakili pemohon, K Shanmuga berkata, kes itu bukan semata-mata berdasarkan pelanggaran manifesto. Katanya, Azmin juga telah melanggar komitmen peribadi yang dibuatnya kepada pengundi.

“Kami bertanya sama ada seorang Ahli Parlimen yang membuat janji dan representasi (tertentu) boleh terus menipu pengundi dan melakukan sesuatu yang bukan janjinya,” katanya.

“Secara ringkasnya, (bolehkah dia) menolak parti A (kemudian) menyokongnya selepas pilihan raya?”

Shanmuga menolak dakwaan Azmin bahawa tidak wujud cara untuk menentukan sama ada pemohon telah mengundinya kerana semua kertas undi dimusnahkan. Dakwaan itu tidak boleh diterima kerana mengikut undang-undang, semua undi adalah rahsia, katanya.

Beliau berkata, wujud kemungkinan untuk memastikan siapa yang diundi pemohon melalui keterangan semasa perbicaraan.

Peguam mewakili Azmin, Nizamuddin Hamid berkata, anak guamnya tidak membuat sebarang representasi atau janji peribadi kepada pengundi tetapi hanya mengulangi janji yang telah dibentangkan dalam manifesto PH.

Beliau juga berkata, kebanyakan tuntutan yang dibuat terdiri daripada persoalan undang-undang yang telah diputuskan sebelum ini. – SM

 

(Visited 209 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button