BeritaNasionalNegeriPendidikan

3,363 graduan POLIMAS Jitra terima diploma Konvokesyen Ke-34

SEBANYAK 3,363 graduan menerima diploma pada Istiadat Konvokesyen Kali-34 Politeknik Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah (POLIMAS) di Dewan Sri Mas, Jitra.

Graduan ini telah tamat pengajian Sesi Jun 2019, Sesi Disember 2019, Sesi Jun 2020, Sesi Disember 2020 dan Sesi 1 2021/2022.

Buat julung kalinya, majlis konvokesyen ini diadakan sebanyak lima sidang bermula 25 September dan akan berakhir 29 September ini.

Tunku Temenggong Kedah, Tan Sri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah telah berkenan menyempurnakan Istiadat Konvokesyen kali ini.

Tunku Temenggong Kedah bergambar bersama tetamu kenamaan dan Ketua-Ketua Jabatan.

Turut hadir dalam majlis ini Pengarah Bahagian Governan, Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Ts. Abdul Razak Sabtu dan Timbalan Pengarah Sokongan Akademik (POLIMAS) , Dr Mhd Azmin Mat Seman.

Enam pelajar yang cemerlang diberikan Anugerah Pengarah bagi lima sesi dalam Istiadat Konvokesyen POLIMAS Ke-34 ini.

Tunku Temenggong Kedah menyampaikan diploma dan Anugerah Pengarah kepada Tan Boon Huang.

Ia terdiri dari S. Kumaran, Diploma Elektrik Elektronik Sesi Jun 2019, Muhammad Haneef Azman Diploma Perkhidmatan Bangunan dan Ku Aizul Hasyimi Ku Adnan, Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Digital) Sesi Disember 2019.

Tan Boon Huang, Diploma Ukur Bahan Sesi Jun 2020, Muhammad Nur Farhan Mohamad Tajuddin, Diploma Teknologi Maklumat (Teknologi Digital) bagi Sesi Disember 2020 dan Zahirah Jaafar, Diploma Perancang Bandar dan Wilayah bagi Sesi 1 2021/2022.

Pelajar berkenaan menerima saguhati bernilai RM500 tajaan dari pihak industri.

Sementara itu, Tunku Puteri Intan Safinaz bertitah, pihak industri diseru supaya menjadi rakan kongsi strategik dengan turut mempromosikan TVET kepada Keluarga Malaysia seperti menonjolkan peluang kerjaya dalam industri dan membenarkan pelajar membuat lawatan ke industri mereka.

“Para graduan pula perlu membina kerjaya masing-masing dengan mengutamakan nilai-nilai etika dan moral yang tinggi,” titah Baginda.

Manakala Timbalan Pengarah Akademik POLIMAS, Salmiyah Che Ahmad dalam ucapan aluannya berkata, bagi mencapai visi POLIMAS iaitu melahirkan graduan yang holistik, seimbang dan berciri keusahawanan, pihak POLIMAS berharap graduan yang dilahirkan adalah berkualiti dan mampu memberikan sumbangan kepada negara, bukan sekadar graduan yang cemerlang didalam bidang akademik sahaja , malah mempunyai personaliti unggul, berketrampilan, berdisiplin dan menjadi contoh “role model” kepada masyarakat dan negara”.

Menurut beliau lagi, “Tidak dinafikan lagi bahawa graduan politeknik khususnya POLIMAS bakal memainkan peranan penting bagi negara dalam mendepani cabaran revolusi 4.0.

Beliau berkata, ini adalah kerana kurikulum TVET yang dilaksanakan di POLIMAS didorong oleh keperluan semasa khususnya keperluan industri. – SM

(Visited 1,382 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button