MahkamahNasional

Pasukan peguam Syed Saddiq mohon maaf ulas kes secara terbuka

PASUKAN peguam bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam perbicaraan penyelewengan dan pengubahan wang memohon maaf kerana mengulas kes Ahli Parlimen Muar itu secara terbuka.

Permohonan maaf itu menyusul Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin memaklumkan mahkamah bahawa peguam Lim Wei Jiet mengeluarkan kenyataan umum berhubung kes yang sedang dibicarakan itu.

“Pihak pembela memohon maaf atas keterlanjuran yang berlaku. Ini tidak akan berulang lagi,” kata peguam Hajian Omar kepada Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Wan Shaharuddin menegaskan bahawa ini bukan kali pertama pasukan peguam Syed Saddiq ditegur kerana mengulas kes yang sedang berjalan, tetapi berkata beliau tidak minta prosiding menghina mahkamah dikenakan.

Beliau memetik satu laporan polis yang dibuat terhadap Lim pada 24 Jun lalu tentang satu video dimuat naik di YouTube mendakwa pertuduhan yang dikenakan terhadap Presiden parti Muda itu bermotifkan politik.


Pengadu berkata, komen peguam boleh mengganggu proses kehakiman kerana perbicaraan masih belum bermula ketika itu, sambil menambah bahawa ia menjadi “sub judice”, iaitu peraturan undang-undang yang melarang daripada kes dibincangkan di khalayak ramai.

Selepas permohonan maaf itu, pesuruhjaya kehakiman Azhar Abdul Hamid mengingatkan semua pihak bahawa “biarkan bukti yang berbicara”.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq, 29, didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada, Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta telah melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2, pada 6 Mac 2020.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan melibatkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018. – FMT – SM

(Visited 78 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button