Politik

PAS ibarat ‘ibu bapa kalah judi, nak lacurkan anak’ – Mahfuz

NAIB Presiden Amanah Datuk Mahfuz Omar mengeluarkan kenyataan keras membalas kata-kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menyifatkan Amanah umpama ‘anak derhaka’ kepada Pas.

Memetik laporan Malaysiakini, Mahfuz mengumpamakan Pas sebagai ibu bapa yang suka berjudi dan selepas kalah mahu menjual anak.

“PAS ini ibarat ibu bapa yang suka berjudi, kemudian bila kalah judi dia mahu lacurkan anak.

“Sebagai anak kita bukan derhaka, daripada kena lacur lebih baik lari selamatkan diri,” katanya kepada Malaysiakini, hari ini.

Mahfuz berkata, dia tidak terkejut dengan kenyataan Abdul Hadi yang menyifatkan Amanah umpama anak derhaka kepada ibu bapa.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu mendakwa, sikap tersebut sudah sinonim dengan kepimpinan Pas yang melabel pihak lain dengan pelbagai gelaran.

Tambahnya, Amanah diwujudkan selepas beberapa pemimpin mengetahui PAS mahu bekerjasama dengan UMNO yang selama ini ditentang habis-habisan.

“Kami bukan anak derhaka, tapi bertindak melarikan diri selepas hidu lebih awal tindakan yang dibuat oleh ibu bapa. Ini bukan soal DAP,” katanya.

Sebuah portal sebelum itu melaporkan, Abdul Hadi berkata, ‘Amanah itu anak derhaka’ membidas kenyataan pemimpin Warisan yang menyifatkan Amanah ibarat ‘anak’ kepada Pas.

Abdul Hadi berkata kenyataan itu menunjukkan Warisan terdesak untuk meraih undi dalam PRN Sabah.

“Amanah itu anak derhaka. Kita sudah putus kerjasama dengan DAP tetapi mereka masih nak ikut DAP juga, (jadi) kita anggap mereka derhaka.

“Kalau betul-betul anak dia mesti taat kepada ibu bapa,” katanya selepas menyampaikan kuliah secara dalam talian di Masjid Rusila, di Marang semalam.

Abdul Hadi yang juga ali parlimen Marang berkata demikian ketika diminta mengulas video yang memaparkan kenyataan Ketua Wirawati Warisan Bahagian Putatan, Izzatul Aini Nissanso yang mendakwa Amanah ibarat anak PAS.

Dalam rakaman yang tular itu, Izzatul Aini dilaporkan berkata, ahli-ahli PAS perlu mengundi Rosdy Wasli kerana pembawaan calon Amanah yang bertanding di DUN Tanjung Keramat itu sama seperti wajah pemimpin PAS.

“Boleh jadi mereka terdesak dan merayu, itu satu langkah yang tidak bijak. Kita sudah tahu parti Warisan bekerjasama dengan DAP maka kita minta orang kita jangan sokong parti itu bersama rakan-rakan yang bergabung dengan mereka,” katanya lagi.

Amanah adalah parti serpihan PAS yang ditubuhkan pada tahun 2015 dipimpin bekas timbalan presiden parti itu Mohamad Sabu.-SM

 

(Visited 679 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button