Politik

Najib saran Sabah batal projek Empangan Papar, segera kes Christina Liew

BEKAS Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyarankan Kerajaan Negeri Sabah yang baharu supaya membatalkan projek Empangan Papar yang dianugerahkan ketika era pemerintahan Warisan.

Menurut Najib, projek tersebut diberikan secara rundingan terus kepada sebuah syarikat dari Semenanjung Malaysia yang berkait dengan projek terowong di Pulau Pinang bersama sebuah syarikat baru yang amat kecil.

“Kerajaan Warisan dahulu telah berjanji menanggung kos penuh RM3 bilion ini. Ini akan memberi tekanan hebat kepada bajet tahunan Sabah yang cuma RM4 bilion setahun.

“Gantikan projek ini dengan projek kolam-kolam takungan hiliran (Off River Storage ORS) bersama penjana tenaga solar yang kos dan impak alam sekitar jauh lebih rendah,” kata Najib.

Saranan tersebut antara lima perkara yang dicadangkan Najib kepada Kerajaan Negeri Sabah pimpinan Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor untuk diberi perhatian.

Beliau turut mencadangkan agar kerajaan negeri mengkaji semula empat projek penyelenggaraan jalan bernilai RM1.45 bilion yang didakwa diberi secara rundingan terus kepada empat buah syarikat dengan pendapatan sifar dengan modal berbayar dari RM750 ribu hingga RM1.72 juta.

“Termasuk diberi kepada sebuah syarikat yang baru didaftar sembilan bulan serta sebuah lagi syarikat yang mempunyai pemilik majoriti serta pengarah yang sama dengan syarikat lain yang diguna untuk songlap duit RISDA dalam kes bekas menteri Warisan.

“Keadaan jalan di Sabah sudah teruk. Kontrak-kontrak ini adalah untuk tempoh lima tahun. Ada kembimbangan bahawa keadaan jalan akan bertambah teruk jika syarikat-syarikat kroni yang tidak berkebolehan diberi projek.

“Siasat juga jika ada penyelewengan sebab saya difahamkan bahawa wang telah dibayar walaupun kerja belum bermula,” kata Najib.

Selain itu Najib turut meminta agar kes melibatkan bekas Timbalan Ketua Menteri SabahChristina Liew yang telah diarahkan membayar ganti rugi RM557 juta kepada syarikat milik kerajaan Sabah dan 819 peladang kecil.

Najib berkata, kes tersebut masih dalam proses mahkamah rayuan pada tahun 2018 setelah Warisan mengambil alih kerajaan.

“Namun pada tahun 2020, perbicaraan kes dalam mahkamah rayuan masih belum bermula setelah berkali-kali ditangguh,” kata Najib.

Najib juga menyarankan agar Kerajaan Negeri Sabah segera menuntut cukai jualan petroleum dari Kerajaan Pusat.

Jelasnya, awal bulan ini Petronas telah membayar RM2.9 bilion kepada Sarawak justeri Sabah juga patut dibayar secepat mungkin.

Kerajaan pimpinan Hajiji juga disarankan agar mempercepatkan pembinaan Pan Borneo Highway terutamanya jajaran-jajaran yang lebih dekat dengan bandar-bandar utama.

“Jika perhubungan infrastruktur siap, pembangunan akan menyusul. Kerajaan Sabah juga perlu memberi kelulusan yang laju bagi sektor swasta merealisasikan potensi kawasan-kawasan baru yang telah dibuka oleh Pan Borneo Highway.

“Langkah ini mampu menjadi pemangkin bagi menjamin pertumbuhan ekonomi Sabah dalam masa terdekat,” kata Najib.-SM

 

(Visited 282 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button