Nasional

Parlimen tidak akan bersidang sehingga 1 Ogos

DEWAN Rakyat tidak akan bersidang hingga 1 Ogos ini bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha melawan COVID-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perkara itu diputuskan oleh jemaah menteri berdasarkan alasan perundangan serta analisis data dan sains mengenai kekhuatiran penularan di dalam bangunan Parlimen.

“Ketika darurat, Yang di-Pertuan Agong (Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah) boleh buat ordinan. Agong sudah boleh gubal undang-undang. Keperluan Parlimen bersidang untuk buat undang-undang tidak ada. Fokus kita adalah COVID-19. Jadi kita boleh tangguhkan dulu (sidang Parlimen).

“Di Parlimen sekarang ini, ada 220 Ahli Parlimen. Dua meninggal dunia, Gerik dan Batu Sapi. Daripada 220 orang, seramai 77 Ahli Parlimen berumur 61 hingga 69 tahun. Ini kumpulan berisiko. Umur dari 71 hingga 79 tahun ada 19 orang, 80 tahun ke atas ada empat orang.

“Jadi, hampir sebahagian Ahli Parlimen kita adalah kumpulan berisiko. Kita tidak mahu Ahli Parlimen terdedah dengan perkara ini (kerana) kita berada dalam satu kawasan yang tertutup.


“Bila bersidang juga, sekurang-kurangnya seorang Ahli Parlimen ada tiga pegawai. Kemudian (pegawai) kementerian pun kena hadir juga,” katanya pada sidang media, di Putrajaya hari ini.

Istana Negara pada 12 Januari lau mengeluarkan kenyataan Al-Sultan Abdullah memperkenan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal, jika kes positif COVID-19 dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

 

(Visited 85 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button