BeritaNasional

P. Pinang punyai banyak faktor untuk tarik ramai pengunjung – Agong

GEORGE TOWN, 20 Dis — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis santapan malam bersama lebih 500 rakyat berbilang kaum di negeri ini, malam ini.

Seri Paduka berdua diiringi Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff, Ketua Menteri Chow Kon Yeow dan isteri Tan Lean Kee serta pegawai kanan pentadbiran negeri.

Dalam titah ucapannya, Al-Sultan Abdullah bertitah Pulau Pinang mempunyai tarikan yang cukup unik menerusi kepelbagaian warisan, budaya, kaum, bangsa dan agama yang hidup dalam keadaan harmoni yang mendorong banyak kunjungan dari negara luar ke negeri itu.

“Pulau Pinang mempunyai tarikan yang cukup unik dengan rakyat berbilang kaum, bangsa, agama yang sentiasa berada dalam situasi dan keadaan yang cukup harmoni dan bersatu padu. Sudah tentu Pulau Pinang mempunyai banyak yang boleh dipelajari daripada masyarakat setempat.

“Saya percaya setelah banyak kali hadir ke negeri ini, banyak faktor yang boleh menarik kunjungan-kunjungan daripada luar. Saya memang begitu kagum dengan pembangunan yang dinikmati oleh rakyat Pulau Pinang… dari segi pembangunannya cukup lengkap dan teratur,” titah Seri Paduka.

Al-Sultan Abdullah bertitah pembangunan yang pesat di Pulau Pinang termasuk penambahan kenderaan menunjukkan perkembangan ekonomi yang baik di negeri berkenaan.

Seri Paduka turut menzahirkan harapannya untuk melihat Pulau Pinang terus membangun dan menjadi sebuah negeri yang dikenali di seluruh dunia.

“Harapan saya untuk melihat negeri Pulau Pinang sentiasa dimajukan. Yang lebih penting rakyat Pulau Pinang harus bersatu dan menjadi satu negeri dikenali seluruh dunia tentang sejarah, kecantikan, keharmonian, muhibah dan masyarakat berbilang kaum…menunjukkan elemen positif,” titah baginda.

Dalam pada itu, Al-Sultan Abdullah bertitah Pulau Pinang amat sinonim dengan diri baginda dan Tunku Azizah kerana Seri Paduka berdua kerap datang ke negeri yang popular dengan jolokan syurga makanan itu.

“Pulau Pinang ada banyak restoran dan tempat makanan yang sedap. Malam ini saya telah diundang oleh isteri saya ke satu tempat untuk makan durian. Sebab itu saya tak boleh cakap panjang, isteri saya desak saya nak makan durian. Bagaimanapun, saya gembira berada di sini,” titah Seri Paduka.

Pada majlis santapan itu, Seri Paduka berdua turut dipersembahkan dengan tarian kebudayaan, nyanyian dan persembahan pentas oleh Harith Iskander.

— BERNAMA

(Visited 93 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button