Nasional

Agong amat hargai kerjasama dwi-partisan kerajaan, pembangkang

YANG di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menyambut baik dan amat menghargai usaha ke arah merealisasikan kerjasama dwi-partisan antara kerajaan dan pembangkang.

Titah Al-Sultan Abdullah, pendekatan baharu itu bakal membentuk lanskap politik bahari dan membawa perubahan dalam sistem pentabiran negara.

“Kematangan seperti inilah yang didambakan oleh seluruh rakyat beta. Ambilah nasihat pepatah Melatu lama yang berbunyi ‘Biduk lalu, kiambang bertaut.

“Sesungguhnya yang menang tidak menang semua dan yang kalah tidak kalah semua.

“Hanya menerusi perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan yang erat bagaikan sebuah keluarga Malaysia sahajalah kita akan dapat mengharuhi pelbagai cabaran dan dugaan yang bakal ditempuh,” titah Al-Sultan Abdullah dalam Istiadat Pembukaan Penggal Keempat, Parlimen Keempat Belas hari ini

Baginda menasihatkan agar semua pihak untuk mengamalkan demokrasi bermusyawarah dalam mencari penyelesaian kepada segala permasalahan negara.

Media semalam melaporkan kerajaan dan pembangkang bersetuju untuk menandatangani Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik hari ini pukul 5 petang bertempat di Dewan Bankuet, Parlimen Malaysia.

Wakil kerajaan dan parti Pakatan Harapan (PH) dalam satu kenyataan bersama pada Ahad berkata, kedua-dua pihak bersepakat untuk mengambil pendekatan kerjasama secara dwipartisan menerusi memorandum persefahaman tersebut.

Perjanjian itu akan disempurnakan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bersama ketua-ketua PH iaitu Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng; Presiden Amanah, Mohamad Sabu dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau.

Tindakan tersebut bertujuan untuk mengembalikan kestabilan politik dan ekonomi negara di samping menangani wabak Covid-19.

Dengan persefahaman tersebut, tumpuan dan keutamaan akan diberikan kepada landskap politik yang baharu melalui inisiatif transformasi dan pembaharuan terhadap tata kelola pentadbiran kerajaan khususnya memperkasakan peranan institusi Parlimen.

Kenyataan bersama itu melibatkan wakil kerajaan antaranya Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin; Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.

Manakala wakil PH pula melibatkan antaranya Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo.-SM

 

(Visited 200 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button