Ekonomi

OPR kekal pada kadar 3.0 peratus

Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong pertumbuhan ekonomi

Pada mesyuarat hari ini, Jawatankuasa Dasar Monetari (Monetary Policy Committee, MPC) Bank Negara Malaysia membuat keputusan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (Overnight Policy Rate, OPR) pada 3.0 peratus.

Ekonomi global terus berkembang, didorong oleh keadaan permintaan dalam negeri yang berdaya tahan dengan sokongan keadaan pasaran pekerja yang teguh.

Walau bagaimanapun, pertumbuhan global terus terjejas  disebabkan oleh inflasi teras yang kekal tinggi dan kadar faedah yang lebih tinggi.

Perdagangan global juga terjejas disebabkan oleh peralihan perbelanjaan (rotation of spending) daripada  barangan kepada perkhidmatan serta permintaan yang terus berkurang dalam sektor elektrik dan elektronik
(electrical and electronics, E&E).

Pertumbuhan di China yang lebih perlahan daripada jangkaan turut menjejaskan ekonomi global. Pada peringkat global, inflasi keseluruhan terus menurun. Meskipun inflasi teras semakin perlahan di ekonomi maju, inflasi tersebut masih melebihi purata jangka panjang.

Pendirian dasar monetari bagi kebanyakan bank pusat dijangka kekal ketat. Prospek pertumbuhan terus bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi lebih perlahan, terutamanya disebabkan oleh momentum ekonomi negara maju yang lebih perlahan, inflasi sebenar yang lebih tinggi daripada jangkaan, ketegangan geopolitik yang semakin meruncing dan keadaan pasaran kewangan yang menjadi ketat secara mendadak.

Pada suku kedua tahun 2023, pertumbuhan ekonomi Malaysia telah terkesan akibat permintaan luaran yang lebih perlahan dan pengeluaran komoditi yang menurun.

Pada masa hadapan, pertumbuhan akan terus didorong oleh perbelanjaan dalam negeri yang berdaya tahan dalam keadaan persekitaran luaran yang mencabar.

Pertumbuhan guna tenaga dan upah yang berterusan, khususnya dalam sektor berorientasikan dalam negeri, terus menyokong perbelanjaan isi rumah.

Ketibaan dan perbelanjaan pelancong dijangka terus meningkat. Aktiviti pelaburan akan disokong oleh projek infrastruktur berbilang tahun yang terus dilaksanakan serta pelaksanaan inisiatif pemangkin di bawah beberapa pelan induk nasional yang diumumkan baru-baru ini.

Keadaan kewangan domestik juga terus kondusif untuk pengantaraan kewangan berikutan pertumbuhan kredit yang berterusan.

Faktor-faktor ini akan terus menyokong momentum pertumbuhan menjelang tahun 2024. Meskipun prospek pertumbuhan bergantung pada risiko pertumbuhan menjadi perlahan yang berpunca daripada permintaan luaran yang lebih lemah daripada jangkaan dan penurunan pengeluaran komoditi yang lebih besar dan berpanjangan.

Namun, kemungkinan pertumbuhan menjadi lebih tinggi berpunca terutamanya daripada aktiviti pelancongan yang lebih kukuh daripada jangkaan, permintaan E&E yang pulih dengan lebih teguh serta pelaksanaan projek sedia ada dan projek baharu yang lebih pantas.

Selaras dengan jangkaan, inflasi keseluruhan dan inflasi teras terus mereda berikutan keadaan kos yang lebih sederhana. Trend menurun ini dijangka berterusan pada separuh kedua tahun 2023, mencerminkan  sebahagiannya asas yang lebih tinggi daripada separuh kedua tahun 2022 dan momentum kenaikan harga yang terus reda.

Risiko terhadap prospek inflasi terus sangat  dipengaruhi oleh perubahan dasar dalam negeri mengenai subsidi  dan kawalan harga, perkembangan harga komoditi global dan pasaran kewangan, serta inflasi teras yang berlarutan.

Pada tahap OPR semasa, pendirian dasar monetari terus menyokong pertumbuhan ekonomi dan konsisten  dengan penilaian semasa berhubung dengan prospek pertumbuhan dan inflasi. MPC kekal berwaspada terhadap
perkembangan semasa bagi memaklumkan penilaian prospek inflasi dan pertumbuhan dalam negeri. MPC akan memastikan pendirian dasar monetari kekal kondusif untuk pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam keadaan harga yang stabil.

(Visited 72 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button