fbpx
Belang Bertempat

Nilai Bersatu pada UMN0 “epal dengan epal”

MENGAPA nada sebilangan pemimpin UMNO kebelakangan ini apabila membandingkan UMNO dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) bukan antara epal dengan epal.  Tetapi epal dengan oren.

Ia bila mana sewenang-wenang mengkritik gabungan politik baharu, Perikatan Nasional (PN). Kelihatannya begitu bongkak, sinikal sekali.

Kritikan terhadap PN yang sebenarnya ditujukan terhadap BERSATU cukup sukar diterima.

Terbaharu, kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) DUN Chini 4 Julai lalu dengan majoriti besar 12,650 undi berbanding 4,622 undi dalam PRU-14 lebih dilabelkan sebagai kemenangan Muafakat Nasional (MN) – gabungan UMNO-PAS – bukannya hasil usaha PN.

Itu belum lagi nada-nada sinis dikeluarkan Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat dan seorang dua pemimpin termasuklah yang lantang mengkritik PN, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Datuk Nur Jazlan Mohamed.


Kata Tok Mat, UMNO tidak pernah menyertai PN kerana PN bukan entiti politik yang berdaftar seperti BN.

Nada Nur Jazlan pula lagi keras. Beliau seakan-akan memperlekehkan pemimpin-pemimpin lain dalam BERSATU dengan tampil `mewakili’ pucuk pimpinan UMNO bahawa “UMNO hanya bersedia terima Tan Sri Muhyiddin Yassin masuk UMNO, tapi untuk pemimpin-pemimpin BERSATU yang lain jika hendak sertai mestilah tanpa syarat”. Syaratnya, bukan kerana hendak jadi calon pilihan raya kerana BERSATU tidak ada grassroot (akar umbi).

UMNO! UMNO! UMNO!, takkanlah tidak ada jasa langsung BERSATU pada parti anda. Bukankah UMNO dapat kuasa balik kerana BERSATU melalui PN?

Kalau Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak bertindak pantas memnbawa keluar BERSATU dari PH Februari lalu kerana “seperti didakwa Tun Mahathir atas alasan orang Melayu akan dihancurkan DAP”, akan munculkah kelibat pemimpin-pemimpin UMNO dalam Kabinet dan kerajaan hari ini?

Akan terampilkah Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan kenyataan-kenyataan bijak, bernas beliau melibatkan isu-isu berkepentingan rakyat?

Bahkan, Ahli Parlimen Bera itu barangkali boleh menjadi calon pilihan Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri dari UMNO seandainya presiden parti itu dan pengerusi lembaga penasihat BN `sangkut’ dalam kes mahkamah mereka.

Itu belum lagi dikira pelantikan pemimpin-pemimpin UMNO negeri dalam Kabinet Muhyiddin, sehinggakan Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Dr. Shamsul Anuar Nasarah `yang tidak ada pengalaman sebagai menteri pun’ boleh dikenali ramai selepas bercakap isu-isu bil elektrik yang meredakan kebimbangan rakyat pasca Covid-19.

Juga, mampukah UMNO meletakkan orang parti itu sebagai menteri besar Johor kalau tidak kerana jasa BERSATU membentuk PN di negeri Ujong Tanah itu?

Itu belum lagi peletakan beberapa pemimpin kanan UMNO dalam syarikat-syarikat milik kerajaan (GLCs) yang sekurang-kurangnya mereka ini `ada tempat’ untuk berbakti kepada rakyat dan ahli parti.

UMNO harus ingat, nama dan imej PN semakin diterima rakyat. Ini berikutan keupayaan Muhyiddin selaku Perdana Menteri dan peneraju PN menangani penularan pandemik Covid-19 sehingga mendapat pujian dunia.
Apakah UMNO dan BN fikir jenama parti itu masih harum dalam kalangan rakyat Malaysia selepas titik hitam isu-isu penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa menumbangkan mereka pada 9 Mei 2018 selepas enam dekad berkuasa?

Apakah UMNO fikir terlalu mudah rakyat negara ini melupakan isu-isu rasuah/penyelewengan berkenaan di sebalik soal isu-isu `perut rakyat’ dan janji manifesto bulan bintang PH menguburkan PH hanya dalam tempoh 22 bulan mereka berkuasa? Tidak semudah itu.

Justeru, respeklah BERSATU dan PN. BERSATU, UMNO dan PAS ibarat aur dengan tebing. Win win situation (menang menang) untuk survival orang Melayu, Islam dan kedirajaan.

Dengan komposisi kerusi Parlimen 37 BERSATU-39 UMNO tidak ada ruginya dilabelkan perbandingan epal dengan epal untuk kedua-dua parti.

Membandingkan epal dengan oren bukan sahaja tidak tepat, malah salah sama sekali. Ditambah lagi pula dengan PAS sendiri telah menyatakan komitmen tinggi menyokong penuh Muhyiddin sebagai Perdana Menteri seandainya PN meraih mandat rakyat dalam pilihan raya umum mengejut (PRU-15) nanti.- SM

(Visited 16 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button