Nasional

Covid-19: Proses vaksinasi berjalan lancar, capai lebih 150,000 sehari

Kerajaan mensasarkan 200,000 suntikan vaksin Covid-19 sehari selepas berjaya melepasi angka 150,000.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, peningkatan kapasiti berterusan di Lembah Klang akan meningkatkan jumlah suntikan harian.

“Suntikan harian bagi 8 Jun (semalam) melepasi 150,000. Kuncinya sekarang adalah memastikan ia konsisten untuk menuju 200,000 sehari.

“Peningkatan kapasiti berterusan di Lembah Klang akan meningkatkan jumlah harian,” katanya yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) menerusi ciapan di Twitter hari ini.


Sementara itu, Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Vaksin COVID-19 (JKJAV) memaklumkan sebanyak 151,309 dos suntikan semalam dan merupakan rekod baharu.

Angka tersebut melepasi sasaran 150,000 dos sehari seperti ditetapkan dengan 105,722 untuk penerima suntikan pertama manakala 45,587 dos lagi bagi pemerima dua dos.

Pemberian dos vaksin COVID-19 tertinggi sebelum ini direkodkan pada 3 Jun lalu apabila 117,563 dos diberi.

Angka itu genap 100 hari selepas pelaksanaan PICK akhir Februari lalu.

Khairy sebelum ini memaklumkan kerajaan meletakkan sasaran pemberian 300,000 dos vaksin sehari pada Ogos.

Dengan itu, sasaran imuniti kelompok mampu dicapai lebih awal berbanding sasaran asal.

Sementara itu sebahagian daripada petugas media mula mendapat suntikan dos pertama hari ini menerusi program khas yang disediakan JKJAV.

Mereka terdiri dalam kalangan wartawan dan jurugambar yang berdaftar dengan Jabatan Penerangan menerima suntikan di beberapa Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di seluruh negara.

Penerimaan rakyat terhadap program vaksinasi semakin baik termasuk di kampung-kampung sebagai contoh di Kelantan sebelum ini ramai tidak hadir ketika vaksinasi dilakukan, situasinya sudah berubah.

Contohnya di Kampung Perah, Kelantan seorang wanita berusia 100 tahun turut mengambil vaksin Covid-19.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengarahkan semua jentera kerajaan digunakan sepenuhnya bagi menggerakkan dan mempercepatkan program vaksinasi di seluruh negara.

Khairy juga mengumumkan sebanyak lima PPV mega akan dibuka di Kuala Lumpur dan Selangor.

Kementerian Wilayah Persekutuan turut mengambil inisiatif menyediakan trak khas untuk vaksinasi di kawasan perumahan awam dan tapak pembinaan.

 

(Visited 46 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button