Ekonomi

Murtabak Crunchy: Inovasi gara-gara PKP

MURTABAK crunchy? Bukan sahaja ada kelainan pada nama malah saiznya bukan empat persegi tetapi berbentuk lonjong bagai popiah.

Ini merupakan satu inovasi dalam makanan dan semakin hari, ia semakin digemari dan sekaligus bertambah ramai penggemarnya.

Apapun keaslian murtabak tetap terpelihara pada kulit dan juga isi Murtabak Crunchy.

Dari aspek perniagaan, perlu bijak dalam pemasaran dan sebab itulah murtabak ini dipasarkan dalam bentuk sejuk beku.

Pencetus produk Murtabak Crunchy sejuk beku, Siti Delima Samah, 51, tidak menyangka idea untuk menghasilkan produk ini sejak dua bulan lalu iaitu dalam Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), berjaya mendapat sambutan di luar dugaan.


Beliau berkata, apa yang pasti, peminat murtabak tidak perlu belengas tangan semasa menikmati Murtabak Crunchy.

“Saiz Murtabak Cruncy juga lebih kecil iaitu sebesar dua jari dan ini membolehkan anda terus suap ke mulut selepas dibakar atau digoreng,” katanya yang tinggal di Lorong Seri Kota, Kampung Nesam, Jalan Kurong Batang, Bintong, Perlis.

Beliau berkata, sebelum ini kebanyakan pelanggannya yang bekerja di pejabat memaklumkan mereka tidak dapat membeli murtabak kerana ia agak menyusahkan ketika makan.

Ini kerana biasanya, sebaik murtabak iti dipotong atau dikerat, isi dan kulitnya mudah berkecai, kata Siti Delima yang mendapat maklumbalas membina daripada para pelanggan.

Masalah kesukaran untuk menikmati murtabak mencetuskan idea kepada Siti Delima yang sememangnya menjalankan perniagaan roti canai dan murtabak sejak 28 tahun lalu.

“Saya membuat produk ini sambil dibantu tiga anak lelaki dan seorang adik di bawah pasukan Delima Food,” katanya yang bersyukur dengan sambutan yang diberikan kepada Murtabak Crunchy.

Beliau berkata, anak sulungnya, Mohd Sobirin Razali, 28, yang berkelulusan Ijazah Pentadbiran Perniagaan (Pemasaran) Universiti Teknologi MARA (UiTM) Perlis banyak membantunya dari segi pemasaran.

Manakala dua lagi anak lelaki serta adik kata Siti Delima membantu dari segi pembuatan kerana setakat ini dia tidak mampu mengupah pekerja luar lagi.

Beliau berkata, murtabaknya ada tiga pilihan inti iaitu sardin, ayam dan daging.

Katanya, setiap pek seberat 650 gram itu mengandungi 15 ketul murtabak yang dijual dengan harga RM10.

Siti Delima berkata, beliau menjual dengan harga mampu milik yang boleh dibeli dengan menghubungi 0174164216 untuk COD.

Sementara itu, seorang pelanggan Nor Kartini memberi komen dalam Facebook (FB) “Saya dah beli dan sedap”.

Kata Siti Delima, setakat ini kebanyakan pelanggan akan ulang pembelian dan harapannya “Murtabak Crunchy” boleh berkembang lebih jauh luar dari Perlis pada masa depan. – SM

 

 

(Visited 118 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button