Politik

Mujahid mahu ketawa bila satu ‘Malaya’ percaya gencatan politik Zahid

GENCATAN politik yang disarankan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bagi membolehkan kerajaan menumpukan usaha membasmi Covid-19 dianggap sebagai taktik untuk mengalihkan perhatian.

Menurut Naib Presiden Amanah Datuk Seri Mujahid Yusof Rawa, dia mahu tergelak apabila satu ‘Malaya’ percaya Ahmad Zahid mahu melakukan gencatan politik.

Mujahid berkata, gencatan politik yang disarankan oleh Ahmad Zahid hanyalah berkaitan perbalahan UMNO dan Bersatu yang menurutnya ketika ini kritikal menanti pecah.

“Gencatan politik kerana covid hanyalah taktik alih perhatian sahaja, sedangkan secara realitinya keduanya sedang berpolitik untuk tawar menawar posisi dan agih mengagih kuasa sesama mereka.

“Sebab itu saya rasa nak ketawa apabila seluruh Malaya percaya satu gencatan politik kononnya sedang berlaku. Saya juga tersenyum melihat sesetengah orang di medsos menyatakan rasa lega sebab kini negara boleh tumpu kepada urusan covid dan bukan politik.


“Itulah hebatnya orang politik meyakinkan orang ramai mereka tidak berpolitik dengan hanya menggunakan perkataan ‘gencatan politik’. Memang bijak,” kata Mujahid.

Ahli Parlimen Parti Buntar itu turut menyindir pihak yang mendakwa kenyataan Ahmad Zahid semalam untuk melakukan gencatan politik sebagai penamat kepada cita-cita Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengambilalih kerajaan.

Menurut Mujahid, Anwar tidak terlibat dalam perbalahan antara Bersatu dan UMNO. Tegas beliau Anwar dan Pakatan Harapan masih dalam keadaan padu.

“Kalau ada yang kaitkan keputusan gencatan politik Zahid bermakna DSAI tak akan dapat sokongan MP UMNO untuk majoriti yang didakwanya, memang dakwaan itu ada logiknya.

“Tetapi logik itu boleh difahami jika sokongan kepada DSAI yang ditawarkan adalah secara en-block! Tapi jangan kita lupa dan abaikan kenyataan Presiden UMNO sebelum ini yang mengatakan bahawa beliau tidak dapat menghalang mana-mana MP UMNO yang hendak menyokong DSAI. Apakah boleh kita kata game over untuk DSAI ataukah sebenarnya game over untuk TSMY?” kata Mujahid.

Dalam pada itu, Mujahid sekali lagi menegaskan dalam prinsip demokrasi tidak ada istilah gencatan politik.

Gencatan politik yang disarankan oleh Ahmad Zahid, menurut beliau tidak ada kaitan langsung dengan Pakatan Harapan.

“Bagi PH, gencatan politik Zahid tidak ada kena mengena kenapa kami perlu berdiam diri dengan kegagalan PN dan TSMY mengendalikan krisis hari ini.

“Salah satu fokus untuk pengurusan krisis covid ialah menukar PN dan seluruh kabinetnya yang telah menjejaskan kepercayaan rakyat kepada usaha kerajaan menangani covid 19. PN juga ada latarbelakang pembelotan yang telah mengguris hati rakyat bermandatkan keputusan secara demokratik pada PRU 2018,” tegas Mujahid.

Ahmad Zahid semalam mengumumkan “gencatan politik” susulan Covid-19 dan menegaskan menyokong kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ahamd Zahid juga berkata, UMNO mendokong kerajaan PN dalam memberi fokus kepada agenda membantu rakyat dan negara.-SM

 

(Visited 92 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button