Nasional

Raja Muda Perlis titah masyarakat agar pelihara sungai

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah agar tindakan memulihara dan memelihara sungai perlu dilaksanakan supaya keadaannya kembali dan kekal bersih untuk dinikmati generasi mendatang.

Baginda bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan ‘Program Hijrah Minda MAIPs kali ke 28 bagi tahun 2020’ yang diadakan di Masjid Al-Imarah Abi dekat Kangar.

Keberangkatan tiba baginda yang diiringi anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Menurut baginda, Lembangan Sungai Perlis adalah satu-satunya lembangan sungai yang perlu terus diwarisi keindahan dan kebersihannya.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut bertitah meminta agar semua pihak memainkan peranan sebagai ‘Rakan Alam Sekitar Perlis’ yang menjadi mata dan telinga dalam menyalurkan sebarang perbuatan khianat kepada sumber air yang dimiliki.


Terdahulu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar Negeri, Azman Shah Ismail dalam sesi ceramah beliau berkata, jabatannya telah melaksanakan ‘Program Denai Sungai Kebangsaan’ bertujuan menggalakkan penglibatan masyarakat secara menyeluruh bagi menangani masalah pencemaran di sumber air serta memupuk gaya hidup sihat dengan aktiviti sosial dan riadah.

“Orang ramai amat digalakkan untuk menyertai aktiviti gotong-royong dan membersihkan sungai yang dianjurkan oleh Sahabat Sungai dari semasa ke semasa. Jika usaha seumpama ini dilaksanakan secara konsisten, sudah pasti hasrat ke arah mengekalkan kualiti kebersihan sungai akan menjadi kenyataan,” jelas Azman Shah.

Pada kesempatan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut berkenan menyampaikan sumbangan bantuan agihan zakat MAIPs kepada seramai 10 orang asnaf terpilih dari kalangan anak kariah masjid berkenaan.

(Visited 212 times, 1 visits today)

Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button