Politik

Senator DAP saran kerajaan kurangkan kekerapan cabutan khas judi

SENATOR DAP Liew Chin Tong menyarankan kepada Kerajaan Perikatan Nasional untuk mengikuti langkah kerajaan Pakatan Harapan dahulu dalam mengurangkan kekerapan cabutan khas ramalan nombor 4-digit.

Chin Tong berkata, beliau dimaklumkan bahawa kerajaan Perikatan Nasional telah meningkat kekerapan cabutan khas ramalan nombor 4-digit daripada 8 kali pada tahun ini kepada 22 kali tahun depan.

“Dalam aspek ini, kerajaan sebenarnya sedang mengutip cukai daripada golongan bawahan yang seringkali mencuba nasib mereka dalam aktiviti judi.

“Majoriti yang terlibat dalam aktiviti perjudian ini juga merupakan golongan B40. Mereka mencuba nasib dalam aktiviti judi dengan harapan boleh memperoleh habuan lumayan.

“Ramai mereka yang menjadi ketagih kepada perjudian dan ini mengakibatkan masalah-masalah sosial yang lain. Mereka ini akan terus menerus mencuba nasib dengan cabutan khas,” katanya.

Menurut beliau, pada November 2018 Kerajaan Pakatan Harapan telah mengambil keputusan untuk mengurangkan kekerapan cabutan khas.

Kerajaan Pakatan Harapan telah mengurangkan jumlah cabutan khas kepada 11 kali pada tahun 2019 berbanding 22 kali yang ditetapkan oleh Kerajaan Barisan Nasional pada tahun 2018

Katanya, kekerapan cabutan khas terus dikurangkan lagi pada tahun 2020 kepada 8 kali sahaja setahun.

“Malangnya, kerajaan Perikatan Nasional kini menambah kembali jumlah cabutan khas kepada tahap zaman Barisan Nasioal.

“Saya sarankan agar kerajaan ikut langkah kerajaan PH dulu dan kurangkan kekerapan cabutan khas ramalan nombor 4-digit,” kata Chin Tong.

Menurutnya, cabutan khas ramalan nombor 4-digit telah dimulakan pada tahun 1999 untuk membantu mangsa wabak virus Nipah ketika itu.

Kerajaan pada masa itu mengizinkan syarikat judi mengadakan cabutan khas selain daripada tiga hari cabutan seminggu yang ditetapkan.

Chin Tong berkata, dalam setahun terdapat 156 hari cabutan biasa dan 22 hari cabutan khas.

Sebahagian besar pendapatan daripada cabutan khas itu disumbang terus kepada aktiviti kerajaan.

“Pada tahun 2017, kerajaan telah mengutip sebanyak RM238juta melalui cabutan khas walaupun wabak virus Nipah pun sudah tiada lagi,” kata Chin Tong.-SM

 

 

(Visited 1,066 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button