Politik

Pas tolak MN jika hanya libatkan UMNO dan Pas sahaja – Hadi

PAS menolak Muafakat Nasional (MN) jika hanya melibatkan UMNO dan parti itu sahaja.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata, jika gagasan itu benar-benar berkonsepkan acuan al-Quran yang pernah mendidik masyarakat Arab yang berpecah belah sebelum kedatangan Islam, maka Muafakat Nasional perlu melibatkan semua pihak,

Beliau menegaskan PAS tidak boleh dibelenggu atau diheret oleh sebarang kefahaman yang lain kerana parti itu hanya bergerak dengan konsep Islam.

Justeru katanya, PAS menolak fahaman yang menafikan adanya masyarakat majmuk yang wajib ditangani oleh gagasan yang lebih besar iaitu Perikatan Nasional.

“PAS boleh bersama-sama membina negara ini dengan acuan Islam, bukannya sekadar menjadi parti anak tangga atau parti yang menumpang sahaja. Bahkan, PAS bukan parti yang menagih simpati seperti peminta sedekah sahaja tanpa mempunyai maruah bersama Islam.

“PAS hanya bersedia menjadi penyelamat negara dengan konsep dan prinsip yang berasaskan kepada perjuangannya bagi menyelamatkan umat keseluruhannya. Bukanlah disebabkan oleh orang tertentu atau kelompok dan puaknya semata-mata.

“PAS hanya menerima Muafakat Nasional yang lengkap perjalanannya mengikut perjanjian yang telah dimeteraikan, tanpa bercanggah dengan agenda perpaduan umat yang lebih besar dan berkuasa melalui gagasan politik Perikatan Nasional,” kata beliau.

Abdul Hadi menegaskan, satu hakikat yang perlu diterima adalah Perikatan Nasional yang menjadi gagasan politik yang lebih besar perlu berperanan dan berkuasa dalam negara masyarakat majmuk.

Sementara itu Abdul Hadi mengibaratkan MN dan PN adalah laksana dua dalam sepasang yang tidak harus dipisahkan sekiranya benar-benar berkonsepkan perpaduan umat dalam negara masyarakat majmuk yang ikhlas.

Katanya, MN dan PN laksana dua tangan dalam satu jasad dan jika salah satu dibuang akan menjadi cacat.

Beliau turut mengibaratkan MN dan PN sebagai sepasang kasut yang tidak waras jika hanya dipakai sebelah sahaja.

“Bukanlah tujuan gagasan ini demi menjaga kepentingan individu atau kelompok tertentu, sama ada untuk mengangkat ataupun menjatuhkannya.

“Kita semua laksana ramainya penumpang yang berada dalam satu bahtera atau mengikut slogan Keluarga Malaysia yang besar sebagaimana diuar-uarkan.

“Berdasarkan semangat yang telah ditegaskan dalam Piagam Muafakat Nasional yang disertai oleh kalangan Melayu Islam dan bumiputera (penduduk asal), maka mereka wajib disatukan setelah berpecah belah dan berporak-peranda selama ini,” katanya dalam satu artikel yang disiarkan oleh Harakahdaily.-SM

(Visited 853 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button