fbpx
Politik

Muhyiddin ucap selamat maju jaya kepada Tun M kerana memilih PH

PENGERUSI Bersatu Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin hari ini mengucapkan selamat maju jaya kepada Tun Dr. Mahathir Mohamad kerana memilih untuk bersama Pakatan Harapan.

Menurut Muhyiddin, ada ahli Bersatu yang berdukacita dengan pilihan yang dibuat oleh Dr. Mahathir untuk tidak bersama-sama dalam wadah dan haluan perjuangan parti sepertimana yang telah diputuskan oleh Majlis Tertinggi Parti.

“YB Tun bersama pengikutnya yang lain memilih untuk terus bekerjasama dengan Pakatan Harapan walaupun parti memutuskan sebaliknya. Jika itu pilihan YB Tun saya ucapkan selamat maju jaya.

“Kita berdoa kepada Allah untuk memberikan kita semua segala kekuatan dalam menghadapi zaman yang sukar ini dengan penuh tabah dan beristiqamah serta dibimbing kita dengan segala tawfik dan hidayahnnya,” kata Muhyiddin.

Dalam satu kenyataan, Perdana Menteri itu yakin dan percaya Bersatu akan terus teguh. Apa yang paling penting menurut beliau adalah Bersatu tidak berjuang demi mana-mana individu tetapi untuk agama, bangsa dan negara.


Muhyiddin berkata, beliau mahu berlaku adil kepada semua pihak dan memastikan apa sahaja tindakan yang diambil terhadap ahli perlu berlandaskan perlembagaan parti.

Muhyiddin yang juga pemangku Pengerusi Bersatu berkata, tiada mana-mana individu mengatasi perlembagaan parti.

Beliau mengulas mengenai lima pemimpin Bersatu termasuk Dr. Mahathir yang terlucut keahliannya beberapa hari lalu.

Jelas Muhyiddin beliau tidak mengambil tindakan terburu-buru walaupun terdapat banyak pikan mendesak supaya tindakan diambil terhadap mereka.

“Saya berharap ahli-ahli Bersatu dapat bersabar dan bertenang dalam menghadapi situasi terlucutnya keahlian lima bekas ahli Bersatu iaitu YB Tun Dr. Mahathir Mohamad, YB Datuk Seri Mukhriz Tun Mahatir, YB Syed Saddiq Syed Abdul Rahmah, YB Datuk Amiruddin Hamzah dan Dr. Maszlee Malik.

“Mereka tidak dipecat daripada parti. Sebaliknya perbuatan mereka melanggar perlembagaan parti telah menyebabkan keahlian mereka terhenti serta-merta,” jelas Muhyiddin.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button