Politik

Bersatu diberi keutamaan bertanding 8 kerusi DUN PRN Kelantan

PENGERUSI Bersatu Kelantan, Kamaruddin Md Nor berkata, Perikatan Nasional (PN) secara dasar bersetuju untuk memberi keutamaan kepada parti Bersatu untuk bertanding lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Lapan kerusi DUN itu disandang oleh Barisan Nasional (BN).

Keutamaan diberi kepada parti itu memandangkan PAS menang 37 daripada 45 DUN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Kamaruddin bagaimanapun berkata, rundingan pembahagian kerusi belum muktamad dan pintu rundingan masih terbuka untuk sebarang kemungkinan seperti Bersatu mempertahankan kerusi yang dimenangi PAS.

“Secara dasarnya, kita ada persetujuan iaitu Bersatu diberi keutamaan untuk bertanding di kerusi disandang UMNO,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, PAS juga mungkin akan bertanding di beberapa kawasan yang kini tidak diwakili mana-mana wakil rakyatnya seperti bawah Parlimen Gua Musang dan Jeli.

“Itu antara cadangan yang mungkin akan dibincangkan,” ujar beliau.

Kamaruddin berkata, tidak wujud perasaan tidak puas hati dalam kalangan komponen PN berhubung pembahagian kerusi DUN Kelantan.

Negeri Pantai Timur Semenanjung itu sekian lama disifatkan sebagai didominasi PAS.

“Kita bertoleransi sesama kita untuk kebaikan bersama dan yang penting, kemenangan, supaya kerajaan negeri Kelantan pimpinan PAS sekarang, mewakili PN, dapat dikekalkan.

“Kita sasar menang semua 45 DUN sepertimana (menang semua) 14 Parlimen pada PRU lepas,” katanya.

Dalam pada itu, Kamaruddin berkata, hanya PAS dan Bersatu akan mewakili PN di Kelantan memandangkan pengundi Melayu membentuk majoriti di semua kawasan.

Gerakan pula akan bertanding di kawasan-kawasan majoriti pengundi bukan Melayu di negeri lain, katanya.

Terdahulu, Pengarah Pilihan Raya PAS Kelantan, Zulkifli Mamat dilapor berkata, PAS sudah menyelesaikan agihan kerusi bagi semua 45 DUN bersama rakan komponen PN bagi menghadapi PRN tidak lama lagi. – SM

(Visited 319 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button