fbpx
BeritaPolitikPRK

Muhyiddin mengekalkan rekod tanpa menang

Tan Sri Muhyiddin Yassin masih mengekalkan rekod tanpa menang setiap kali mengetuai pilihan raya kecil dan yang terbaharu di Tanjung Piai.

Kali terakhir pilihan raya kecil yang beliau menang ialah ketika bersama UMNO di Dewan Undangan Negeri Tenang, Johor.

Jika ketika pilihan raya kecil Sungai Limau, Kedah, Muhyiddin terlepas cakap mempersenda kematian Datuk Seri Azizan Razak dari Pas akibat dipotong kaki setelah menderita sakit kencing manis kerana terlalu banyak mengambil gula.

Di Tanjung Piai pula Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula telah tersasul mengarwahkan calon PH sendiri Haji Karmaine Sardini ketika berucap berkempen.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pula membuka pekung apabila bercerita beliau keseorangan berlawan dengan pemimpin DAP negeri dalam mempertahankan orang Melayu di Perak.

Semoga Muhyiddin dan anak didiknya Syed Saddiq dapat menerima kekalahan kali ini kerana ia berlaku di kampung halaman mereka. Muhyiddin mungkin tiada masalah kerana beliau sudah biasa kalah dan merupakan ahli politik veteran, Syed Saddiq awal lagi telah mengakui kekalahan kali ini sangat pahit untuk ditelan.

Haji Karmaine yang merupakan seorang imam kini mempunyai tanggungjawab besar, selain menerima kekalahan perlu menyatukan kembali penduduk di Tanjung Piai. Apabila seorang imam mengambil keputusan untuk pilihan raya kecil ia sedikit sebanyak akan menimbulkan keretakan hubungan dalam kariah dan penduduk kawasan berkenaan.

Kekalahan di Tanjung Piai sekaligus menyebabkan Pakatan Harapan (PH) gagal menghalang rekod kemenangan berterusan pada pilihan raya kecil dan di Tanjung Piai adalah kemenangan yang sangat besar majoriti iaitu lebih 15,000 undi dan lebih besar makna selepas termeterainya Muafakat Nasional iaitu kerjasama Barisan Nasional (BN) dengan Pas.

Tapi sebenarnya isu-isu kecil itu hanya penyumbang kepada isu besar iaitu kegagalan kerajaan PH dalam mengurus tadbir negara ini dengan baik. Dengan barisan Kabinet yang tidak berpengalaman negara ini seolah-olah dikendali oleh sekumpulan badut sarkas.

Mereka tidak melalui proses pendedahan yang sepatutnya kerana menjadi pembangkang selama ini dan tiba-tiba tanpa mereka sendiri sangka menang pilihan raya dan menjadi menteri.

Semasa pemerintahan dahulu seseorang perlu melalui proses tertentu sebelum menjadi menteri. Peringkat awal akan dilantik sebagai setiausaha parlimen, jika sesuai dan prestasi baik dilantik menjadi timbalan menteri.

Apabila menguasai tugas timbalan menteri barulah dilantik menjadi menteri, itupun di kementerian yang agak junior seperti Kementerian Belia dan Sukan. Selepas itu barulah ditukar ke kementerian yang lebih kanan.

Apa yang berlaku hari ini Mat Sabu tiba-tiba sahaja menjadi Menteri Pertahanan iatu kementerian yang sangat kanan. Jadilah seperti cerita dongeng yang penuh dengan unsur kecindan.

Isyarat sangat jelas rakyat sudah tidak tahan dengan kerajaan yang caca merba walaupun hanya 18 bulan. Jika diadakan pilihan raya esok hari tentu PH akan tumbang kerana pada masa ini mereka adalah kerajaan yang paling dibenci oleh majoriti rakyat Malaysia.

PH perlu berusaha memenangi kembali hati rakyat sebelum tempoh penggal tamat jika mahu terus menjadi kerajaan, jika gagal pada pilihan raya umum kelak mereka akan dihumban hingga bukan sahaja tidak layak menjadi pembangkang, bahkan tidak layak menjadi ahli politik apatah lagi pemimpin.

Jangan sampai jadi seperti rakan saya di negara jiran selepas mengalamai kekalahan teruk pada pilihan raya beliau mengambil keputusan untuk duduk di pesantren dan sehingga hari ini sudah hampir 10 tahun dia tidak pernah muncul di arena politik.

Foto FB Najib Razak

Satu lagi yang sangat ketara ialah aura bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak masih lagi berbisa berbanding Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad. Pelbagai usaha dilakukan bagi menimbulkan kebencian kepada Najib tetapi beliau tetap disayangi rakyat.

Show More

Related Articles

Back to top button