PolitikRencana
Trending

Mungkin Tun M lupa siapa sebenarnya pecahkan undi Melayu

Komentar

LONTARAN seperti terlalu banyak parti membawa kepada ketidakstabilan politik, perpecahan dan sebagainya kerap kali dinyatakan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Beliau menyatakan, terlalu banyak parti politik akan menyebabkan perpecahan orang Melayu.

Malah, yang terbaharu bekas Perdana Menteri selama 22 tahun dan 22 bulan itu mengkritik rakan parti dan anak didiknya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau mengkritik Ahli Parlimen Muar itu yang mahu menubuhkan parti berteraskan cita rasa anak muda.

Justeru Dr. Mahathir sekali lagi mengulangi pendapatnya itu bahawa parti yang ingin ditubuhkan Syed Saddiq hanya akan memecahkan undi orang Melayu.

Jadi, timbul persoalan dan juga rasa geli hati dengan pandangan beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi itu lontarkan berulang-ulang kali.

Berulang-ulang kali jugalah beliau sebenarnya menubuhkan parti baharu, satu persatu.

Kalau kita mengimbas kembali peristiwa penubuhan parti politik pra dan pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Kita akan dapat melihat bagaimana berubahnya landskap politik negara bukan sahaja berlaku perubahan kerajaan, tetapi landskap parti turut berubah.

Selama beberapa tahun sejak Barisan Alternatif tidak lagi digunakan untuk menentang Barisan Nasional (BN).

Pakatan Rakyat ditubuhkan untuk melawan BN, namun tiada perubahan terlalu ketara, kecuali sokongan yang diperolehi pembangkang sebelum dan selepas PRU-13 semakin meningkat.

ABDULLAH AHMAD BADAWI

Perubahan bermula apabila Dr. Mahathir, ketika pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi tidak lagi sehaluan dengan Perdana Menteri ke-5 itu.

Kemudian beliau bertindak meninggalkan UMNO, namun tidak menubuhkan parti baharu.

Sebaliknya beliau kembali semula kepada parti terbesar orang Melayu itu ketika Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri.

Ramai berpandangan, kembalinya Dr. Mahathir kepada UMNO pada 2009 kerana merasakan Najib Razak boleh mendengar nasihatnya.

Namun pada 2016, beliau mengumumkan keluar UMNO selepas Najib Razak dikatakan enggan mendengar nasihatnya.

Hari pertama beliau keluar UMNO pada 29 Februari 2016, Dr. Mahathir menyatakan tidak akan menubuhkan parti baharu.

Malah beliau pernah menyatakan ketika itu, “Tidak. Dalam hati saya tetap ahli UMNO,” seperti dilaporkan portal Astro Awani sebagai alasan tidak akan menubuhkan parti baharu.

MUKHRIZ MAHATHIR

Pada 7 September 2016, beliau bersama Perdana Menteri sekarang, Tan Sri Muhyiddin Yassin menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ketika itu, Dr. Mahathir menjadi Pengerusi dan Presidennya adalah Muhyiddin. Anaknya, Datuk Seri Mukhriz menjadi Timbalan Presiden.

Beliau dan barisan kepimpinan lain menubuhkan parti baharu, kemudian menyertai gabungan pembangkang yang ketika itu digelar sebagai Pakatan Harapan.

Pada Februari 2020, beliau meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri ke-7 dan gugur keahliannya pada Mei 2020 selepas duduk di blok pembangkang ketika dalam Dewan Rakyat.

Pada 12 Ogos lepas, Dr. Mahathir mengumumkan penubuhan parti baharu iaitu Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

Beliau menjadi Pengerusi dan anaknya Mukhriz menjadi Presiden.

SYED SADDIQ

Cubaan pertama mereka adalah berkempen untuk calon bebas dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Slim, tetapi gagal membawa kemenangan.

Syed Saddiq diperingkat awal dikatakan menyertainya sebelum beliau sendiri menegaskan tidak bersama dengan mentornya itu dalam Pejuang.

Tetapi, beliau dikritik secara terang-terangan oleh Dr. Mahathir bahawa parti berteras anak muda yang ingin ditubuhkan itu akan menyebabkan perpecahan undi orang Melayu.

Baca dari atas sampai ke bawah, siapa sebenarnya yang menyebabkan perpecahan masyarakat dan undi Melayu.

Barang kali Dr. Mahathir terlupa, beliau bukan berada dalam parti yang dominan untuk orang Melayu.

Parti terbesar bangsa itu tetap UMNO, bukan Bersatu apatah lagi Pejuang. – SM

(Visited 403 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button