Ekonomi

Moratorium baharu perlu dilaksana, selamatkan PMKS – Muhyiddin

PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyarankan satu moratorium baharu dilaksanakan bagi menyelamatkan perusahaan mikro kecil sederhana (PMKS).

Menurut Muhyiddin, beliau telah mengadakan perbincangan meja bulat bersama Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM). Perbincangan itu disertai Tan Sri Dr Sulaiman Mahbob, Ketua Pegawai Eksekutif MPN bersama Abdul Halim bin Husin, Presiden DPMM bersama barisan pimpinan DPMM.

Perbincangan meja bulat bertumpukan isu dan cabaran dari aspek pemulihan ekonomi negara serta cadangan penyelesaian dari perspektif DPMM. Pihak DPMM turut menyuarakan kebimbangan ahli-ahli terutamanya pengusaha perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) mengenai masalah aliran tunai.

“Ini selari dengan saranan yang dibuat Majlis Pemulihan Negara supaya PMKS diberi moratorium khas berikutan sektor-sektor ini masih belum pulih sepenuhnya akibat pandemik COVID-19. Situasi ini diburukkan lagi dengan kenaikan Kadar Dasar Semalaman ataupun OPR tiga kali berturut-turut oleh Bank Negara Malaysia pada tahun ini.

”Pihak DPMM juga menyuarakan kebimbangan ahli-ahli terhadap denda dan penalti oleh pihak Lembaga Hasil Dalam Negeri yang dikenakan kepada usahawan-usahawan Melayu yang baru pulih disebabkan pandemik dan berharap pihak LHDN dapat memberi budi bicara dalam perkara ini,” katanya.

Memandangkan 53 peratus dari 950,000 PKS berdaftar di Malaysia adalah perniagaan milik Melayu dan Bumiputera, sekali lagi saya ingin menyaran pihak kerajaan untuk mengambil tindakan segera bagi meringankan beban mereka yang juga terkesan teruk akibat peningkatan kos yang mendadak.

Untuk memastikan proses pemulihan ekonomi yang sekata dapat dicapai, Kerajaan harus memastikan sebanyak mungkin PMKS seluruh negara diberi “talian hayat” untuk mampu bernafas dalam situasi ekonomi yang semakin mencabar.

“Saya risau jika tiada langkah drastik yang diambil Kerajaan terutamanya dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan Jumaat ini, lebih banyak lagi PMKS yang terpaksa gulung tikar.

“Apa yang lebih parah, lebih ramai rakyat Malaysia yang mungkin juga akan kehilangan pekerjaan dan punca pendapatan. Jangan terhantuk baru tengadah, lakukanlah sesuatu dengan segera!” kata Muhyiddin.

(Visited 172 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button