Nasionalpilihan

Pembinaan bangunan baru KK Bukit Rambai dapat atasi kesesakan

Pembinaan bangunan tambahan Klinik Kesihatan (KK) Bukit Rambai dengan anggaran kos antara RM35 hingga RM38 juta dekat sini dijangka mampu mengatasi masalah kesesakan pesakit terutama di waktu puncak.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Datuk Lim Ban Hong berkata, klinik yang dibina pada 1963 yang kini berusia 60 tahun memerlukan bangunan tambahan bagi pertambahan perkhidmatan dan kemudahan kesihatan.

Menurutnya, ini akan dapat memastikan pasukan perubatan menyampaikan khidmat mereka secara lebih efisien dan serta dapat memberi manfaat besar kepada penduduk di tujuh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) di situ.

Ujarnya, cadangan pembinaan bangunan tambahan di kawasan seluas 1.82 hektar di hadapan klinik berkenaan dijangka bermula pada 2026 dijangka mampu menampung 800 pesakit sehari berbanding 342 orang sebelum ini.

Beliau berkata, penambahan perkhidmatan kesihatan di klinik berkenaan sudah sewajarnya dibuat mengambil kira pertambahan penduduk dengan banyak kawasan taman perumahan baharu dibuka selain kawasan perindustrian.

“Permintaan terhadap perkhidmatan kesihatan di klinik kesihatan ini bertambah dari tahun ke tahun.

“Mengikut data kita dapat lihat jumlah pesakit purata dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini adalah sebanyak 6,713 manakala jumlah pesakit mendapat rawatan sehari seramai 324 orang.

“Dengan adanya bangunan tambahan ini kita akan dapat mengatasi masalah kesesakan pesakit dan perkhidmatan yang disediakan pula akan bertambah berbanding yang ada sebelum ini,” ujarnya kepada pemberita selepas melakukan lawatan cadangan tapak berhampiran Klinik Kesihatan Bukit Rambai di sini hari ini yang turut dihadiri Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Dr. Rusdi Abd. Rahman.

Ban Hong berkata, proses pengambilan tanah di tiga lot sudah diselesaikan dan kerja-kerja merancang sedang dilakukan serta Jabatan Kesihatan negeri akan mengemukakan peruntukan kepada kerajaan tahun depan.

Menurutnya, bangunan tambahan itu akan menyediakan perkhidmatan klinik pergigian yang lebih sempurna, kemudahan x-ray dan fisioterapi.

“Bangunan lama pula akan terus beroperasi seperti biasa menyediakan perkhidmatan rawatan pesakit luar, makmal dan perkhidmatan pergigian,” ujarnya. – SM

(Visited 83 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button