EkonomiNasional

Misi penjualan produk Bumiputera Sabah ke UK bantu PKS B40, M40

MENTERI di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Abd Latiff Ahmad akan mengetuai program Promosi dan Misi Penjualan produk Bumiputera Sabah ke United Kingdom, bermula dari 9 sehingga 16 Mei.

Abdul Latiff berkata, misi ini juga akan menampilkan promosi Taste of Sabah selama dua minggu di 11 restoran Asia terkenal di London.

Menurut Abdul Latiff lagi, satu majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara Kristal Handal Sdn Bhd, anak syarikat Kumpulan Yayasan Sabah dengan beberapa pemborong dan pengedar serta peruncit  telah dimeterai dalam talian di United Kingdom dan Perancis.

“Misi anjuran Kristal Handal Sdn Bhd itu merupakan salah satu inisiatif yang dirancang sempena pelaksanaan Program Pusat Sehenti Usahawan Global (GLOPEC).


“Ia dibiayai di bawah program Dana Pembangunan Bumiputera (DPUB) TERAJU bagi memacu pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) khususnya masyarakat Bumiputera di Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, GLOPEC bertindak sebagai platform yang ditubuhkan melalui perkongsian strategik antara Kumpulan Yayasan Sabah dan Unit Tindakan Afirmatif Bumiputera di bawah Jabatan Perdana Menteri (TERAJU) untuk membantu PKS Sabah mengembangkan operasi perniagaan mereka dan menghubungkan mereka kepada rangkaian pembekal, pengimport dan pengedar global yang lebih besar.

Misi ini, katanya, tertumpu kepada usaha untuk mempromosikan produk Buatan Sabah ke UK dan pasaran Eropah yang lain selama seminggu.

“Delegasi mempunyai peluang unik untuk bertemu secara peribadi dengan bakal pemborong, pengedar atau peruncit dalam talian” katanya.

Abdul Latiff berkata, United Kingdom dan Perancis adalah pasaran yang menawarkan pertumbuhan ketara dan peluang besar untuk kerjasama perniagaan.

“Saya berbesar hati mengetuai promosi Taste of Sabah ini untuk memacu lebih banyak peluang bagi produk Buatan Sabah untuk menandakan kehadiran mereka di pasaran UK,” katanya.

Tambah beliau, adalah menjadi satu matlamat di Jabatan Perdana Menteri melalui TERAJU untuk membantu usahawan B40 dan M40 meluaskan jejak mereka ke pasaran yang lebih besar seperti pasaran serantau dan global.

Sehubungan itu, Abdul Latiff berkata, misi ini merupakan satu langkah penting untuk memastikan GLOPEC dan usahawan Sabah yang mengambil bahagian dapat menjalin rangkaian, mempelajari tentang peluang perniagaan dan membina jambatan yang lebih kukuh untuk mengembangkan perniagaan mereka.

“Kita mahu mencipta pekerjaan dan memberi manfaat kepada komuniti untuk model perniagaan yang lebih mampan dan inklusif,” ujarnya..

Sementara itu, Pengarah Yayasan Sabah dan Pengerusi Eksekutif Innoprise Corporation Sdn Bhd, Datuk Seri Ghulam Haidar @Yusof Khan Bahadar  turut menyertai misi perdagangan itu.

Beliau berkata, Yayasan Sabah komited untuk menyokong usahawan PKS semasa mereka bertindak balas terhadap gangguan ekonomi global yang disebabkan oleh Covid-19.

“Melalui misi itu, kami akan meningkatkan keterlihatan produk Buatan Sabah dan mengambil usaha gigih untuk melibatkan pemborong dan pengedar serta peruncit dalam talian di UK dan Perancis,” katanya dalam kenyataan yang sama, hari ini.

Anggota lain menyertai misi ini termasuk Ketua Pegawai Eksekutif TERAJU, Md Silmi Abd Rahman, pegawai TERAJU, Kumpulan Yayasan Sabah dan Kristal Handal Sdn Bhd serta usahawan Sabah. – SM

 

(Visited 66 times, 4 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button