Belang Bertempat

Minta Maaf: Mufti dan Siti Nurhaliza…

ISU permohonan maaf seorang mufti terhadap penyanyi Datuk Siti Nurhaliza Taruddin yang menjadi tular turut mendapat perhatian Profesor Madya Dr. Norazlina Mohd Kiram dari Universiti Putra Malaysia.

Berikut adalah catatan dan pandangan peribadi beliau yang dikongsi dengan pembaca SUARA MERDEKA.

Tadika Afwa Al Aafiyah kelolaan Siti Nurhaliza terjejas, henti operasi
Siti Nurhaliza

Perkataan ‘maaf’ hanya satu perkataan tetapi tidak mudah diungkapkan. Islam memandang berat perbuatan ‘maaf’ dan sentiasa menggalakkannya sama ada memohon maaf ataupun memberi maaf.
Memohon maaf menjadi pelakuan Rasulullah SAW selari dengan firman Allah dalam surah al-Baqarah ayat 237 yang bermaksud, “…dan pemaafan kamu itu lebih dekat kepada takwa”.

Antara contoh ungkapan ialah, “Minta maaf ya, saya bercakap sedikit”, “Maaf, ini pandangan saya” dan “Saya mohon maaf, saya tidak bermaksud begitu”. Memohon maaf merupakan tindakan terpuji, namun masih ramai yang meletakkan syarat sebelum melakukannya.

Kebiasaannya, ungkapan ini dilafazkan kerana mahu menebus kesalahan atau bergantung kepada situasi yang berlaku. Konsep memohon maaf, memberi maaf  dan saling memaafkan seperti yang dituntut oleh Islam perlu difahami sepenuhnya.

Permohonan maaf bukan hanya untuk menebus kesalahan, tetapi juga untuk kita bersikap lebih sopan dalam pelbagai situasi dengan sesiapa sahaja.

Hal ini termasuklah ketika kita memberikan pandangan terhadap sesuatu perkara dengan niat untuk mendapatkan lebih banyak kebaikan.

Manakala, tindakan memberikan kemaafan atau memaafkan kesalahan orang lain merupakan sifat kebaikan, seperti yang dinyatakan dalam surah al-A’raf (ayat 199), ”Jadilah seorang pemaaf dan suruhlah orang mengerjakan yang ma’ruf, serta berpalinglah daripada orang-orang yang bodoh”.

Dengan cara ini, kita dapat menamatkan perasaan dendam, marah dan kecewa terhadap orang yang pernah menyakiti kita.

Pada akhirnya, kita saling bermaaf-maafan dan membangunkan kembali hubungan yang renggang, ibarat “buang yang keruh ambil yang jernih”, atau mungkin kita kemudiannya memilih untuk menjarakkan diri. Kita berhak membuat pilihan.

Apa yang penting kita telah melakukan perkara kebaikan dan meneruskan hidup dengan tenang.  Hikmahnya pasti ada.

Dalam masyarakat Melayu, memohon maaf dan memaafkan merupakan sebahagian daripada budaya yang sangat dititikberatkan, dan diasuh kepada anak-anak supaya sebati dalam diri. Hal ini dapat dikaitkan dengan  sifat tawaduk atau rendah hati yang sangat dimuliakan oleh Islam.

Orang yang tawaduk tidak memandang dirinya lebih baik, dan tidak melihat orang lain  lebih buruk daripada dirinya.

Dalam hubungan ini, ungkapan permohonan maaf daripada Mufti Pulau Pinang kepada penyanyi Dato’ Sri Siti Nurhaliza Tarudin baru-baru ini, mencerminkan peribadi seorang Mufti yang sangat tawaduk dan tinggi ilmunya, termasuk tatacara dalam memberikan teguran dan pandangan.

Bagaimanakah pula tatacara lisan orang yang menerima teguran dan pandangan? Asasnya adalah hormat dan penghormatan.

Begitulah hebatnya orang yang memiliki pemikiran dan jiwa yang bersih. Peristiwa bahasa ini seharusnya mendorong kita untuk muhasabah diri, memperhalusi dan mengambil iktibar daripada tutur kata seorang ulamak yang disegani. Sesungguhnya, Allah menyukai orang yang berbuat baik. – SM

(Visited 226 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button