Belang Bertempat

Biduk berlalu, kiambang bertaut, cukup-cukuplah bergaduh

BELANG lega apabila para menteri kabinet dari Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan penuh kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kadangkala dalam hal melibatkan kepentingan negara, kepentingan peribadi dan kelompok tertentu harus diketepikan.

Selepas bergaduh, bercakaran dari awal penubuhan Perikatan Nasional (PN) hingga ke Pilihan Raya Negeri Sabah, sampai ke isu pandemik Covid-19, kini semua pihak perlu bersatu hati bagi memastikan Belanjawan 2021 diluluskan pada undian bakal berlangsung pada 26 November ini.

Sebagaimana diumumkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa semua pihak perlu melaksanakan gencatan politik, ia harus digenggam kuat dalam situasi getir yang dihadapi negara pada masa ini.

Isu yang dibangkitkan oleh Pengerusi Penyokong Barisan Nasional, Datuk Seri Najib Razak berhubung isu pengeluaran sekali maksimum RM10,000 dari Tabung 1, KWSP dan sambungan moratorium secara automatik pasti diberi perhatian.

Oleh itu tiada alasan lagi untuk ahli parlimen BN daripada tidak menyokong belanjawan negara.

Setiausaha Agung BN Tan Sri Annuar Musa yang lantang sejak kebelakangan ini juga pastinya bukan niat beliau untuk menjadi jurucakap kepada Bersatu, tetapi lebih kepada tanggungjawab sebagai menteri kabinet.

Jadi biarlah biduk berlalu, kiambang bertaut. Cukup-cukuplah bergaduh dan tumpukan sepenuh perhatian kepada menyantuni rakyat yang sangat mengharapkan kerajaan.

Jika bukan kerajaan siapa lagi yang harus membela nasib rakyat yang terumbang-ambing pada masa ini.

Kabinet yang ada harus mengembleng tenaga bagi mencari solusi bagi memulihkan ekonomi negara, memastikan rakyat ada duit untuk membeli makanan dan melandaikan keluk penularan wabak.

Masing-masing mempunyai alasan untuk merasa kecewa dan terkilan, tetapi pada masa ini janganlah sampai rakyat rasa terkilan dengan kerajaan yang ada.

Selepas tertekan hidup di bawah pemerintahan Pakatan Harapan, rakyat amat berharap kerajaan Perikatan Nasional lebih prihatin dengan keluhan rakyat dan bukannya bergaduh sesama sendiri sehingga tidak berpenghujung.

Janganlah sebelum ini mereka menuduh Pakatan Harapan sebagai kerajaan kencing rakyat, tetapi apabila diberi peluang menjadi kerajaan Perikatan Nasional tidak jauh berbeza.

Jangan terlalu tamak kuasa. Kuasa akan datang apabila rakyat memberi mandat. Mandat pula akan tiba apabila rakyat berpuas hati.

Hati rakyat justeru perlu dijaga dan dimenangi.

(Visited 777 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button