Belang Bertempat

DAP juga punca Pakatan Harapan tumbang?

SELAMA 22 tahun Tun Dr Mahathir Mohamad dicanang sebagai Perdana Menteri yang hebat (1981-2003) dengan 70 peratus pembangunan Malaysia ini dikatakan berpunca daripada dirinya.

Tapi sayangnya bila beliau berdakap dengan DAP menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) lepas, kemudian menang menumbangkan kerajaan Barisan Nasional, dan selepas kira-kira 20 bulan lebih sedikit sahaja, tindak tanduk itu akhirnya mengakhiri tidak sahaja pencapaian PM ke-4 beliau, bahkan jawatan PM ke-7 (2018 – Februari 2020).

Mengapa persepsi ini berlaku?

Barangkali, sebahagian besar orang Melayu sukar mahu menerima hakikat terjadinya hubungan Mahathir-DAP.

Selama berpuluh-puluh tahun berpolitik, bekas Perdana Menteri itu begitu membenci DAP. Pernah, ketika berucap di Permatang Pauh pada 4 Mei 2013, Dr Mahathir menggelar Kit Siang sebagai ‘number one racist’.
“DAP adalah rasis dan parti cauvinis. Kit Siang adalah orang nombor satu paling rasis” kata Dr. Mahathir.

Dan apabila Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP, Ronnie Liu boleh pula mendakwa Dr. Mahathir menjadi penyebab jatuhnya Kerajaan Persekutuan pimpinan Pakatan Harapan (PH) Februari lalu, adakah `fakta’ ini boleh diterima?

Kata Ronnie, sekiranya Dr. Mahathir tidak meletakkan jawatan dan mendengar nasihat Yang di-Pertuan Agong untuk tidak meletakkan jawatan maka semua masalah PH yang berlaku tidak akan terjadi.

Begitupun Ronnie lupa satu perkara ini. DAP pun antara salah satu punca PH tumbang.

Selama ini termasuklah dalam tempoh 22 bulan sejak Mei 2018, DAP kelihatan gagal untuk menguar-uarkan kepada masyarakat Cina mengenai kebaikan yang telah dibuat oleh kerajaan khususnya semasa era BN untuk kesejahteraan kaum tersebut.

Sebaliknya, apa yang dilakukan oleh DAP terutama dalam kempen PRU-13 agak meyakitkan.

Antaranya, melalui perancangan slogan `Ubah dan Ini Kalilah’ yang dikatakan agak `mendukacitakan’ untuk menumbangkan kerajaan BN yang orang Melayu menjadi terasnya.

Hasil dari pilihan raya umum ke-13 itulah menjadikan DAP sebagai parti paling dominan dalam pakatan pembangkang waktu itu dengan meraih 38 daripada 51 kerusi, seterusnya berlayar menuju PRU-14 dengan sebahagian masyarakat Cina menjadi `hilang arah dan kelabu mata’.

Kalau disorot sejarah masa silam dan pembiayaan serta peruntukan untuk masyarakat Cina oleh kerajaan BN, insiden luka `berpaling tadah’ mereka bermula dalam PRU 2013 sama sekali tidak wajar berlaku.

Antaranya:

1. Tidak akan jumpa sebaik bangsa Melayu
– Sebelum Persekutuan Tanah Melayu atau turut dikenali sebagai Malaya mengecap nikmat kemerdekaan lagi, sikap toleransi yang ditunjukkan oleh bangsa Melayu dan umat Islam mendapat penghargaan daripada pemimpin kaum Cina dan India.

Tun Tan Siew Sin dan Tun VT Sambanthan yang bertindak sebagai wakil rakyat masing-masing bagi kaum Cina dan India menyatakan kesyukuran dan terima kasih mereka atas pengorbanan orang Melayu yang bersedia menerima mereka sebagai warganegara.

Petikan ucapan tersebut seperti yang berikut:
(i) Presiden MCA, Tun Tan Siew Sin, dilaporkan dalam akhbar tempatan bertajuk ‘Tun Tan Answers Critics on Special Previleges’ pada 30 April 1969, berkata:
“…Orang Melayu menerusi UMNO bermurah hati melonggarkan syarat-syarat dalam undang-undang negara ini sehinggakan dalam masa 12 bulan selepas kemerdekaan, 90 peratus penduduk bukan Melayu menjadi warganegara. Ini berbeza dengan keadaan sebelum merdeka di mana 90 peratus daripada mereka masih tidak diiktiraf sebagai rakyat Tanah Melayu walaupun hampir 100 tahun hidup di bawah pemerintahan penjajah. Sebagai membalas kemurahan hati orang Melayu, MCA dan MIC bersetuju meneruskan dasar memelihara dan menghormati kedudukan istimewa orang Melayu dan dalam masa yang sama mempertahankan kepentingan-kepentingan sah kaum lain.”.

(ii) Presiden MIC Merangkap Menteri Kerja Raya, Pos Dan Telekom, Tun VT Sambanthan berucap di Dewan Rakyat pada 1 Jun 1965:
“…Seperti yang saya nyatakan, saya amat bernasib baik kerana dilahirkan di negara ini. Di manakah anda boleh berjumpa bangsa yang lebih prihatin, bersopan-santun dan tertib selain dari bangsa Melayu. Di manakah anda boleh mendapat layanan politik yang baik untuk kaum pendatang? Di manakah dalam sejarah dunia? Saya bertanya kepada anda. Ini adalah fakta. Siapakah anda untuk menjaga keselamatan kami? Saya adalah kalangan 10 peratus kaum minoriti di sini. Tetapi saya amat gembira di sini.”

2. Peruntukan SJKC lagi…
– Berbeza dengan pendirian jiran tetangga, Singapura yang tidak membenarkan sekolah-sekolah aliran Cina beroperasi, di Malaysia lain pula kisahnya.
Bukan setakat boleh menjalankan pembelajaran mereka, malah peruntukan kepada sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) turut disalurkan. Ini merupakan bukti kukuh keprihatinan kerajaan BN dalam membantu masyarakat Cina.
Sejak Pakej Rangsangan Ekonomi Negara diperkenalkan pada 2009, masalah penambahbaikan berjaya diselesaikan dan keadaan SJKC yang mendapat bantuan banyak berubah ke arah lebih baik.
Melalui pakej itu, sebanyak RM565 juta telah diperuntukkan untuk tujuan itu.
Terdapat 1,298 SJKC di seluruh negara termasuk 884 SJKC Sekolah Bantuan Kerajaan (SBK) menerima manfaat daripada bantuan kewangan berkenaan.
Kerajaan turut memberi keutamaan kepada bangunan sekolah yang perlu dibaik pulih terutamanya membabitkan penyelenggaraan dalam memastikan keselesaan kepada penghuni sekolah berkenaan.

3. Situasi menang-menang Perkara 153
– Jika sesiapa mengkaji dengan teliti konsep Bumiputera, mereka akan sedar bahawa tidak banyak mengenai ‘mempertahankan kepentingan orang asal (Melayu)’.

Cuma ideologi dan falsafahnya sebelum pemberian kerakyatan `Jus Soli’ kepada kaum Cina dan India di ambang kemerdekaan dahulu melibatkan dua aspek utama.

Pertamanya, untuk membendung ‘kecinaan’. Saudagar Cina dahulu kala amat rapat dengan penguasa British.
Orang Melayu semasa itu tiada kuasa ekonomi langsung. Pada pandangan orang Melayu, sekiranya imigran-imigran ini memegang tampuk kuasa ekonomi dan cuba untuk melebarkan kuasa politik, maka akan menghakis kewujudan orang Melayu.

Orang Cina pula semasa zaman itu tiada tempat bergantung. Negara China sedang berperang dengan Jepun dan Komunis mengamalkan Dasar Tutup Pintu. Orang Taiwan pula menganggap Cina Malaysia sebagai hua Qiao dan secara teknikalnya melabel mereka seolah-olah sebagai `telah berpindah keluar’ seperti orang Cina yang berada di Amerika Syarikat atau negara-negara Eropah.

Maka dengan itu, satu-satunya cara untuk menyelesaikan masalah tersebut adalah dengan meminta kepada kerajaan ketika itu, British hak kewarganegaraan beramai-ramai. Ini dengan mengambil kira sumbangan kaum Cina dan India kepada pembangunan Persekutuan Tanah Melayu/Malaya dan berjanji taat setia.

Dan British kemudiannya telah bersedia untuk mengiktiraf sekali gus memberi taraf/hak kewarganegaraan kepada orang Cina melalui Malayan Union Charter (piagam). Piagam ini membawa kepada 1) negeri-negeri Selat 2) Negeri-negeri Bersekutu dan 3) Negeri-negeri tidak Bersekutu untuk tertakluk di bawah Tanah Jajahan Mahkota.

Bagaimanapun UMNO sejurus itu ditubuhkan untuk menentang Malayan Union. Parti Melayu ini tidak rela membenarkan penjajah British memberikan kerakyatan kepada imigran yang tidak berintegrasi/ mengasimilasi kepada budaya mereka .

Maka British harus menangani tekanan dari UMNO dan juga daripada orang Cina. Tunku Abdul Rahman ditugaskan untuk mencari jalan tengah memastikan kompromi antara orang Melayu & imigran dari Cina dan India ini.

Pejuang kemerdekaan yang juga Perdana Menteri pertama itu perlu mengorak langkah. Beliau harus membuat keputusan sama ada menolak permintaan kerakyatan orang Cina dan India, memaksa mereka pulang ke negara asal atau pun mencari titik tolak ansur antara kedua-dua pihak.

Beliau kemudiannya menasihati Suruhanjaya Reid untuk menggubal kontrak terbesar antara orang Melayu & Imigran, yang dikenali sebagai Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan (kontrak sosial). Orang Cina ketika itu bersetuju.

Dengan pengenalan Perkara 153, orang Melayu membuat keputusan bahawa mereka sudah boleh mengetepikan aspek-aspek kebimbangan sebelum itu. Kedudukan mereka tidak akan tergugat oleh orang imigran tidak secara ekonominya mahupun pendidikan kerana dipelihara oleh Perlembagaan Persekutuan.

4. Singapura kekang kecinaan?
-Singapura yang majoritinya kaum Cina tetapi tiada langsung kecinaannya. Setelah 30 tahun bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar tunggal di sekolah-sekolah republik itu, akhirnya sekolah menengah Cina terhapus (lihat buku Man in White, muka surat 612).

Pada tahun 1980, Universiti Nanyang dipaksa bergabung dengan Universiti Singapura untuk menjadi Universiti Nasional Singapura dengan menggunakan bahasa pengantar Inggeris.

Dicatatkan juga dalam buku itu bahawa antara 1960 hingga 1980 adalah tahun yang amat mencemaskan dan membimbangkan intelek Cina.

Ini kerana mereka melihat keruntuhan bahasa Cina dan kehilangan kedudukannya yang penting dan tidak lagi mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.

Bahkan, pada suatu ketika apabila dasar itu berjaya sepenuhnya dan sebelum wujud geopolitik baharu berikutan kebangkitan China, orang Cina di Singapura malu untuk membawa akhbar Cina manakala akhbar Tamil juga telah mati apabila Lee Kuan Yew menutup sekolah Tamil yang ditangisi oleh penjual-penjual akhbar Tamil yang telah dapat menjangkakan akibatnya.

Di atas keruntuhan institusi pelajaran Cina dan juga Melayu di Singapura dan dengan Inggeris menjadi bahasa pengantar tunggal, maka terbinalah bangsa Singapura.

Dalam aspek ini, kejayaan besar Singapura ialah menghapuskan perkauman Cina dan sikap orang Cina yang terlalu kecinaan dan membentuk masyarakat Cina yang kebaratan.

Tetapi di Malaysia bagaimana? Budaya Cina berkembang subur. Pendidikan Cina dibenarkan walaupun tuntutan sebilangan cauvinis mereka termasuk pertubuhan Dong Zong menuntut supaya kerajaan mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu atau Unified Examination Certificate (UEC).

Demikianlah al-kisahnya.

Dan alangkah eloknya jika DAP sedikit sebanyak dapat menguar-uarkan toleransi tinggi orang Melayu ini – sekali gus barangkali tidak memungkinkan parti itu `terpelanting’ keluar dari `gerabak kereta api’ Februari lalu.
– SM

(Visited 951 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button