Politik

Mesyuarat ‘Top 5’ UMNO ditangguhkan – Ismail Sabri Yaakob

Pertemuan lima pemimpin tertinggi UMNO yang dirujuk sebagai ‘Top 5’ yang sepatutnya diadakan Sabtu ini telah ditunda pada satu tarikh yang belum ditetapkan lagi kata Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau yang juga Naib Presiden UMNO berkata, pertemuan ‘Top 5’ UMNO itu tidak dapat diadakan adalah susulan penangguhan Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Khas yang sepatutnya diadakan
pada hari sama.

Menurutnya, pertemuan yang sepatutnya berlangsung Sabtu ini adalah bagi membincangkan mengenai tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) bakal diadakan nanti.

“Tak jadi dan sudah ditangguhkan. Sepatutnya hari Sabtu ini mesyuarat MKT khas tapi sudah ditangguhkan jadi kita tunggu tarikh baru.

“Saya sendiri tidak pasti sebab ditangguhkan. Saya dapat mesej suruh tangguh. Setiausaha Agung Datuk Ahmad Maslan akan umumkan tarikh baru.

“Kebiasaannya sebelum mesyuarat MKT, akan ada perjumpaan dengan ‘Top 5’ dan biro politik…jadi perjumpaan akan dibuat pada mesyuarat akan datang,” ujarnya ketika ditemui media selepas hadir pada Majlis Apresiasi Pavilion Malaysia Ekspo Dubai 2020 di sini malam tadi.

‘Top 5’ UMNO merujuk kepada Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan serta tiga Naib Presiden terdiri daripada Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin,
Datuk Seri Mahdzir Khalid dan perdana menteri sendiri.

Bagaimanapun, Ismail Sabri tidak mendedahkan punca mesyuarat berkenaan ditangguhkan dan bila ia akan diadakan semula.

Beliau berkata, perjumpaan dengan lima pemimpin utama UMNO itu akan diatur semula sebelum berlangsungnya mesyuarat MKT akan datang.

Katanya, tarikh baharu bagi mesyuarat MKT Khas UMNO itu bagaimanapun akan diumumkan oleh Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, nanti. – SM

(Visited 169 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button