Politik

Kerajaan PN tidak runtuh serta-merta jika gagal undi Belanjawan hari ini

KERAJAAN Perikatan Nasional tidak jatuh secara automatik jika tewas dalam undian bacaan kali ketiga Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 yang akan berlangsung hari ini.

Pakar undang-undang Profesor Madya Dr. Shamrahayu A. Aziz berkata, sekiranya RUU tersebut tidak mendapat sokongan majoriti, pihak kerajaan masih boleh mengusulkan undi percaya terhadap Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin kepada Dewan Rakyat.

“Kalau majoriti undi tidak menyokong bermakna rang undang-undang itu tidak boleh diluluskan. Kesannya ialah kerajaan dikatakan hilang kepercayaan majoriti.

“Tapi pada saya apa yang kerajaan boleh buat ialah kerajaan bersedia untuk mengusulkan undi percaya terhadap Perdana Menteri. Ia bukanlah secara automatik bila undi belah bahagi gagal dia perlu meletakkan jawatan,” terang Dr. Shamrahayu kepada Suara Merdeka.

Menurut Penyandang Kerusi Institusi Raja-Raja Melayu di Universiti Teknologi Mara (UiTM) sekiranya undi percaya itu berjaya mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen maka Perikatan Nasional masih lagi menjadi kerajaan.

Selanjutnya, Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021 Perbekalan (Belanjawan) 2021 perlu dibentangkan sekali lagi untuk diluluskan.

Bagaimanapun, sekiranya Muhyiddin gagal dalam undi percaya itu beliau perlu meletakkan jawatan.

“Perdana Menteri perlu meletakkan jawatan terlebih dahulu dan kemudian memaklumkan kepada Yang Dipertuan Agong,” kata Dr. Shamrahayu.

Menurut beliau, Muhyiddin boleh mengusulkan pembubaran Parlimen bagi memberi peluang kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang baharu kepada Yang Dipertuan Agong.

Bagaimanapun terserah kepada kebijaksanaan Baginda sama ada untuk membubarkan Parlimen atau memperkenankan kerajaan baharu kepada pihak yang memiliki sokongan majoriti.

Persidangan Dewan Rakyat hari ini akan menjadi tumpuan apabila undian bacaan kali ketiga Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan (Belanjawan) 2021  berlangsung.

RUU itu sudah diluluskan di peringkat dasar pada 26 November lalu menerusi undian suara majoriti, namun melalui laluan sukar apabila di peringkat jawatankuasa walaupun semua diluluskan dengan 25 daripada 27 kementerian sudah selesai sehingga semalam.

Daripada 25 kementerian itu, 16 kementerian diluluskan di peringkat jawatankuasa dengan undian suara majoriti manakala sembilan kementerian melalui undian belah bahagian.

Hari ini, dua lagi kementerian akan melalui perbahasan di peringkat jawatankuasa untuk diluluskan belanjawan bagi 2021 iaitu Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pengajian Tinggi.

Semalam, Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) menegaskan akan menolak Belanjawan 2021 bagi bacaan kali ketiga selepas pengumuman dan penggulungan Belanjawan 2021 dilihat tidak memenuhi apa dipohon dan diharapkan Ahli Parlimen  dan rakyat.

Kerajaan juga berhadapan kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad (BEBAS- Langkawi) yang jelas menyatakan akan menolak Belanjawan 2021.

Kumpulan Dr Mahathir termasuklah tiga lagi Ahli Parlimen dari parti Pejuang iaitu Datuk Seri Mukhriz Mahathir (BEBAS-Jerlun), Datuk Amiruddin Hamzah (BEBAS-Kubang Pasu) dan Datuk Dr Shahruddin Md Salleh (BEBAS-Sri Gading).

Kerajaan juga kehilangan satu undi sokongan apabila Tengku Razaleigh Hamzah (BN-Gua Musang) dalam sidang media bersama Dr Mahathir semalam mengisytiharkan tidak akan mengundi.

Ketika ini, BN memiliki 42 kerusi di Dewan Rakyat dengan pecahan UMNO (38), MCA (dua), MIC (satu) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (satu).

PN mempunyai 49 kerusi dengan pecahan BERSATU (31) dan PAS (18); GPS mempunyai 18 kerusi menerusi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) (13), Parti Rakyat Sarawak (PRS) (dua), Parti Demokratik Progresif (PDP) (dua) dan Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP) (satu) manakala Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) (satu) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) (satu) serta satu wakil rakyat bebas mesra PN, ahli parlimen Lubok Antu, Jugah Muyang bagi menjadikan jumlah keseluruhan 112.

Sebelum ini, BN mempunyai 43 kerusi melalui UMNO, tapi kerusi itu dikosongkan kerana Ahli Parlimen Gerik, Datuk Hasbullah Osman meninggal dunia 16 November lalu.-SM

(Visited 580 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button