Nasional

Proses pemulihan negeri bukan beban kerajaan persekutuan semata-mata

PENGERUSI Majlis Pemulihan Negara (MPN) Tan Sri Muhyiddin Yassin mengatakan bahawa kabinet bersetuju menubuhkan Majlis Pemulihan Negeri bagi mempercepat pemulihan ekonomi susulan pandemik COVID-19.

Muhyiddin berkata penubuhan itu melibatkan jawatankuasa peranan tindakan peringkat daerah untuk menilai jenis bantuan yang boleh disalurkan oleh kerajaan negeri tanpa memerlukan pembabitan Kerajaan Persekutuan.

“Kita telah buat keputusan untuk mencadangkan penubuhan Majlis Pemulihan Negeri, ini dipersetujui oleh Kabinet dan arahan sudah dikeluarkan supaya negeri-negeri segera menubuhkan majlis ini.

“Tanggungjawab untuk mempercepat proses pemulihan negeri bukan terletak di atas bahu Kerajaan Persekutuan sahaja. Arahan itu juga melibatkan peranan jawatankuasa tindakan di peringkat daerah yang dipimpin pegawai daerah, jadi dia boleh bawa ke (peringkat) negeri,” katanya dalam sidang media selepas sesi dialog awam bersama Majlis Pemulihan Negara edisi Sarawak hari ini.

Memetik laporan UtusanTV, Muhyiddin juga berkata sekiranya kerajaan negeri memerlukan bantuan di peringkat Persekutuan, MPN akan meneliti dan memperhalusi perkara itu untuk tindakan susulan.

Semasa sesi dialog awam itu, beliau meminta mereka yang menyuarakan cadangan kepada majlis itu menyediakan kertas atau memorandum lengkap untuk dimajukan kepada MPN.

Antara isu yang dibangkitkan dalam sesi itu ialah bantuan untuk perusahaan kecil dan sederhana, sektor pendidikan serta pembaharuan permit bekerja bagi warga asing.

Dalam pada itu, menerusi laman Facebook beliau, Muhyiddin berkata, beliau berpeluang bertemu dengan para pemain industri Sarawak menerusi satu sesi libat urus (townhall) dengan mereka dalam lawatan kerja satu hari ke Kuching,

Menurutnya, beliau sempat berkongsi dengan para peserta mengenai fokus dan hala tuju pemulihan negara terutama dalam meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat melalui pemberian bantuan dan pemulihan segera dalam semua sektor, terutama sektor-sektor kritikal.

“Antara yang telah dibangkitkan oleh pemegang-pemegang taruh dalam kalangan komuniti perniagaan Sarawak ialah isu kekurangan tenaga kerja dan masalah mendapatkan pembiayaan segera oleh sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dalam pelbagai bidang.

“Para pemain industri turut membangkitkan isu polisi kabotaj, isu gangguan dalam rantaian bekalan yang menyebabkan peningkatan kos barangan di Sarawak serta isu-isu lain berkaitan keperluan untuk kelangsungan perniagaan.

“Mengenai isu sosial pula, mereka melahirkan kerisauan tentang impak kepada sektor pendidikan akibat penutupan sekolah dan institusi pendidikan sehingga berlaku ketinggalan dan keciciran dalam pembelajaran,” katanya.-SM

(Visited 167 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button