Nasional

Menara telekomunikasi Kampung Sungkup diceroboh, internet terjejas

HAMPIR 600 penduduk Kampung Sungkup, Kedah berhadapan dengan masalah liputan telekomunikasi selepas  menara yang disediakan di bawah Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) berhampiran kampung mereka diceroboh.

Kejadian tersebut telah dilaporkan oleh penduduk kampung kepada Pejabat MCMC Negeri Kedah pada Ahad, 15 Oktober 2023 apabila mendapati terdapat kesan vandalisme termasuk kabel dipotong dan peralatan dicuri.

Pejabat MCMC Negeri Kedah pada hari sama telah bergegas ke lokasi kejadian untuk membuat tinjauan bersama  pihak penyedia perkhidmatan yang dilantik menguruskan menara berkenaan. Laporan polis turut dibuat oleh pihak penyedia perkhidmatan.

MCMC ketika ini sedang mempertimbangkan beberapa langkah untuk memulihkan kembali perkhidmatan telekomunikasi di sekitar Kampung Sungkup.

Menara telekomunikasi tersebut menyediakan perkhidmatan telekomunikasi Celcom, Digi, Maxis dan U Mobile melalui kaedah perkongsian 4G MOCN (Rangkaian Teras Operator Berbilang).

Perbuatan khianat yang dilakukan itu telah menyebabkan perkhidmatan kesemua rangkaian tersebut tidak dapat beroperasi.

Orang awam dimohon untuk segera melaporkan kepada pihak polis sekiranya mempunyai sebarang maklumat  atau melihat sebarang aktiviti mencurigakan berhampiran tapak infrastruktur telekomunikasi.

Perbuatan merosakkan kemudahan telekomunikasi boleh didakwa dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda RM300,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya di bawah Seksyen 235,
Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

MCMC pada masa sama akan turut meningkatkan kerjasama dengan penduduk, pihak polis dan Pihak Berkuasa Tempatan untuk mencegah sebarang cubaan menceroboh menara telekomunikasi.  – SM

(Visited 147 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button