Nasional

Menang RM8 juta bakar semangat saman 5 pemimpin DAP lain

KEMENANGAN saman fitnah terhadap Setiausaha Publisiti Pemuda DAP Sarawak Abdul Aziz Isa menjadi pemangkin kepada Penganalisis politik, Dr. Kamarul Zaman Yusoff untuk meneruskan saman terhadap lima pemimpin DAP yang lain.

Kamarul Zaman yang merupakan pensyarah Universiti Utara Malaysia menyifatkan kemenangan saman terhadap Abdul Aziz yang juga pegawai khas Pengerusi DAP Sarawak, merupakan kemenangan yang manis.

“Begitupun, bagi saya, walaupun kemenangan ini adalah agak manis, ia sebenarnya hanyalah pembakar semangat untuk saya di dalam perbicaraan saman saya ke atas lima pemimpin besar DAP lain yang kesemuanya merupakan Ahli Parlimen,” kata Kamarul Zaman.

Semalam Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan Abdul Aziz Isa membayar ganti rugi RM8 juta atas kenyataan fitnah dibuat terhadap Kamarul Zaman.

Mahkamah turut memerintahkan Abdul Aziz Isa membayar faedah 4% setahun atas ganti rugi itu dan membayar kos tindakan berkenaan RM10,000 kepadanya atas 22 tuduhan fitnah.

Kamarul Zaman berkata antara fitnah yang dilemparkan terhadap beliau adalah kononnya beliau menghalang umat Kristian untuk mengamalkan agama mereka dalam bulan suci Ramadan.

Beliau turut difitnah kononnya menghalang umat Kristian menganjurkan upacara keagamaan di gereja-gereja sendiri.

Lima pemimpin DAP yang kini berhadapan saman fitnah Kamarul Zaman adalah Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok; Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen; Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang; Ahli Parlimen Ipoh Timur, Wong Kah Woh dan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.

Kamarul Zaman menyaman Teresa sebanyak RM8 juta antaranya termasuk tuduhan bahawa beliau berfahaman sempit dan ekstremis dan oleh itu tidak sesuai menjadi pensyarah universiti dan pendidik.

Chieng Jen disaman sebanyak RM5 juta antaranya termasuk kerana mendakwa Kamarul Zaman mencetuskan ketidakharmonian antara kaum dan menyemai kebencian antara penganut-penganut agama.

Manakala Kit Siang disaman RM5 juta antaranya kerana mendakwa Kamarul Zaman membataskan kebebasan beragama penganut Kristian dan cenderung mendesak pengharaman kitab suci Kristian iaitu Bible.

Kah Woh pula disaman RM5 juta antaranya kerana mendakwa Kamarul Zaman merendahkan martabat dengan menjadi propagandis bagi parti politik UMNO dan gabungan politik Barisan Nasional.

Kamarul Zaman menyaman Lip Eng sebanyak RM5 juta kerana mendakwanya sebagai terencat akal dan/atau mempunyai iman dan kepercayaan yang sangat lemah dalam agama saya hingga membuat laporan polis berdasarkan falasi logik dan/atau tanggapan tidak wajar.

“Sama-samalah doakan kejayaan saya dalam kelima-lima kes ini dan kes-kes lainnya,” kata Kamarul Zaman.-SM

 

(Visited 758 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button